Kuala Lumpur: Jika jual beli pakaian atau kosmetik dalam talian dianggap perkara biasa bagaimana pula jika anda ditawarkan buaya tembaga, anak beruang, lotong, ular atau anak Orang Utan.
Itu antara kegiatan jenayah dilakukan 51 ‘kaki lelong siber’
yang cuba memasarkan haiwan liar dilindungi dan terancam ini melalui Internet.
Aktiviti perdagangan hidupan liar secara haram ini kebanyakannya
dilakukan golongan belia tempatan yang mahu mendapatkan wang mudah termasuk
menjadi orang tengah.
Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman
Negara (Perhilitan), Datuk Dr Abdul
Kadir Abu Hashim berkata, seramai 56 ‘pakar lelong’ binatang di dalam laman
sosial diberkas pihaknya sejak Januari 2013 hingga Jun tahun lalu.
Menurutnya, bilangan jenayah siber membabitkan penjualan hidupan
liar melalui dalam talian didapati meningkat setiap tahun berdasarkan bilangan
individu yang dijejaki dan diberkas.
“Pada 2013, hanya seorang individu ditahan namun angka meningkat
kepada 32 individu pada tahun 2014.
“Pada 2015 pula, lapan individu ditahan diikuti 13 individu pada
2016. Manakala pada tahun lalu seramai lima suspek ditahan antara Januari
sehingga Jun,” katanya.
Kadir berkata, pihaknya serius dalam membendung kegiatan
penjualan hidupan liar dilindungi melalui operasi Op Taring dijalankan secara
berterusan.
“Kami mengesan dan memberkas puluhan pemilih sesawang sosial
khususnya Facebook yang mendalangi penjualan hidupan liar secara haram di
negara ini.
“Ramai antara mereka sudah diheret ke mahkamah untuk pendakwaan
mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716),” katanya.
Beliau mengakui kecanggihan teknologi dan permintaan tinggi
dalam kalangan penggemar haiwan eksotik menjadi punca jenayah ini terus aktif
walaupun tindakan pemantauan dilakukan berterusan.
“Modus operandi mereka sentiasa berubah
dan menggunakan kaedah penyamaran.
Namun kami turut mempunyai unit siber bagi menjejaki golongan
ini.
“Saya beri amaran kepada mereka, pegawai Perhilitan kami terlatih
dan mampu menjejaki mereka hingga ke pintu rumah,” katanya.
Perhilitan sebelum ini berjaya menyelamatkan haiwan liar
dilindungi yang dijual melalui dalam talian antaranya anak lotong, musang dan
kucing batu Asiatic Leopard Cat hasil serbuan di ibu kota dan Negeri Sembilan
pertengahan tahun lalu.
Malah sindiket turut pernah menawarkan buaya tembaga, mengkira,
kucing batu dan beruang matahari dan pelbagai burung melalui taktik sama.
Menurutnya, 275 operasi dilakukan pihak Perhilitan sejak Januari
hingga September 2016 membabitkan operasi Jerat, Op Perniagaan, Op
Penyeludupan, Op Pameran dan Operasi Khas di seluruh negara.
“Malah sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini (2016), seramai
51 pemburu haram diberkas anggota Perhilitan membabitkan 39
warga Malaysia, tujuh Indonesia dan lima Kemboja.
“Ini membabitkan operasi di Taman Negara, Taman Negara Endau
Rompin, Taman negara Royal Belum dan Rizab Hidupan Liar Krau. Operasi 1MBEON
ini turut mendapat kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya.
Sumber: hmetro
0 comments:
Post a Comment