KUALA
LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihatkan orang ramai supaya
berwaspada terhadap pihak yang menyamar sebagai pekerja atau kontraktor TNB
berikutan kes warga emas yang disamun di rumahnya, oleh penjenayah yang
menyamar sebagai pekerja TNB beberapa hari lepas.
Pengurus Besar
Perhubungan Awam dan Dalaman (TNB), Datuk Omar Sidek berkata anggota kerja TNB
yang sebenar diwajibkan berpakaian seragam syarikat berupa kemeja-T bewarna
merah, berjaket biru dengan logo serta nama, ketika menjalankan tugas.
“Pemeriksaan
hanya akan dibuat setakat di meter sahaja dan tidak dibenarkan membuat
pemeriksaan pendawaian selepas meter kerana ia di luar bidang kuasa TNB,”
katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu,
beliau berkata kakitangan TNB perlu menunjukkan kad kuasa (kad pengenalan diri
sebagai pekerja TNB yang memaparkan gambar anggota kerja berserta nombor kad
pengenalan dan nombor pekerja) kepada pemilik atau penghuni premis.
Katanya kes
melibatkan penjenayah menyamar sebagai pekerja TNB amat merisaukan seperti yang
berlaku baru-baru ini.
Dua hari lepas,
sebuah akhbar melaporkan seorang wanita warga emas di Jertih, Terengganu
menjadi mangsa apabila disamun di rumahnya oleh dua lelaki yang menyamar
sebagai pekerja TNB di Kampung Gong Mak Som dekat Alor Lintah.
Ketua Polis
Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi dipetik berkata, suspek
berpura-pura mahu memeriksa meter elektrik rumah mangsa dan meminta mangsa
mengambil bil, ketika mangsa menyerahkan bil elektrik, suspek terus meragut
rantai leher mangsa berusia 61 tahun sebelum melarikan diri.
Pada bulan
Julai baru-baru ini, seorang lelaki menyamar sebagai pekerja TNB untuk mencuri
telefon pintar Samsung S7 di sebuah pejabat berlokasi di Jalan Kuchai Lama. –
BERNAMA
0 comments:
Post a Comment