NEW DELHI – Pembuat kereta
terbesar India, Maruti menghentikan operasi sebuah kilangnya selepas seekor
harimau bintang dilihat berlegar dalam premis itu, lapor agensi berita China Xinhua.
Seorang pegawai
kanan berkata visual harimau bintang itu telah dirakam oleh satu daripada
kamera litar tertutup yang dipasang di kilang pembuat kereta berkenaan di
Manesar, 50 kilometer dari Delhi, pada Khamis.
“Syif pagi
kilang itu terpaksa dibatalkan bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak
diingini dan beratus-ratus pekerja telah dihantar pulang,” katanya.
Sementara itu,
para pegawai hidupan liar telah melancarkan satu gerakan besar-besaran untuk
mengesan harimau bintang tersebut di kilang tersebut, yang terletak di negeri
Haryana.
“Satu pasukan
tujuh anggota telah diberikan tugasan. Mereka dilengkapi ubat penenang bagi
melemahkan harimau bintang itu sebelum menyelamatkannya,” kata konservator
hidupan liar tempatan, Vinod Kumar kepada media.
Manesar terletak
berhampiran kawasan pergunungan Aravalli dan para pegawai hidupan liar berkata
haiwan itu mungkin dari hutan yang terdapat di sekitar kaki gunung berkenaan.
“Harimau
bintang itu mungkin turun dari hutan Aravalli. Kami akan cuba menyelamatkannya
dan membebaskannya di kawasan hutan,” kata seorang pegawai hidupan liar yang
lain.
Maruti Suzuki,
sebuah syarikat usaha sama antara Maruti dan Suzuki Motor Corporation dari
Jepun, menguasai lebih 50 peratus pasaran kereta yang berkembang pesat di
India. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment