Pengurus Datuk Siti
Nurhaliza, Rozi Abdul Razak mendedahkan pengorbanan dan usaha penyanyi tersohor
negara itu selama 11 tahun untuk menimang cahaya mata.
Menerusi entri terbaharu di
laman Instagram (IG) miliknya, Rozi memberitahu Siti tidak pernah berputus asa
menjalani rawatan kesuburan.
Rozi yang juga akak ipar penyanyi
tersebut memberitahu rawatan kesuburan itu menyebabkan saiz badan Siti berbeza
atau lebih besar selepas kahwin.
Pun
begitu, Siti tidak pernah putus asa kerana dia akan cuba diet dan melakukan
senaman untuk kekalkan tubuh badan yang menarik setiap kali perlu tampil dalam
persembahan nyanyian dan sebagainya.
Menurut
Rozi lagi, selesai sahaja memenuhi undangan nyanyian dia akan kembali menjalani
rawatan kesuburan dan ia berulang sehingga 11 tahun lamanya.
Berikut merupakan perkongsian
penuh Rozi mengenai Siti:
“Sebelum
@ctdk berkahwin, kami merancang untuk bercuti ‘pantang’ bersama-sama. Maklum
saja, kami sering bekerja bersama dan bercadang untuk bercuti pantang juga
bersama. Memang agak lucu tetapi begitulah perancangan kami.
“Bulan
demi bulan, tahun demi tahun, belum ada rezeki beliau untuk dikurniakan
cahayamata dan anak bongsu saya juga kini sudah berusia 10 tahun. Saya
ringkaskan cerita panjang @ctdk, beritahulah apa saja cara, namakan petua dan
rawatan, sebut saja kaedahnya, beliau terus mencuba, ya, tanpa henti.
“Bila
orang bercakap tentang saiz badannya selepas berkahwin, saya kata, wanita di
luar sana mesti faham. Tubuh wanita pasti akan mengalami perubahan saiz kerana
inilah proses rawatan kesuburan, mungkin anda boleh ‘google’ jika mahu
mengetahui lanjut namun saya tahu, ramai yang faham dan maklum.
“Tidak
timbul soal tidak diet dan sebagainya, malah beliau aktif beriadah, senaman dan
menjaga pemakanan (sesuai saranan doktor) namun dalam masa yang sama rawatan
ini juga memungkinkan saiz badan akan bertambah.
“Beliau
berkorban jika ada acara besar seperti konsert, mengenepikan rawatan dan
kembali melangsingkan badan untuk lebih ‘presentable’ di atas pentas. Kemudian
beliau mencuba lagi, lalu kembali fokus kepada acara besar dan meninggalkan
sebulan dua rawatan. Begitulah rutin beliau selama 11 tahun ini.
“Bukan
sekali dua beliau berehat, namun kami bijak mengatur jadual lalu beliau
kelihatan selalu aktif, walhal sedang di dalam rawatan. Apabila keputusannya
negatif, beliau kembali bekerja seperti biasa.
Inilah
pengorbanan wanita, demi mendapatkan cahayamata dan zuriat. Berita beliau hamil
telah menggerakkan ramai wanita di luar sana menghubungi dan bertanyakan
tentang rawatan yang @ctdk lakukan.
Berita
ini memberikan semangat dan harapan kepada wanita-wanita yang belum dikurniakan
cahayamata. Nikmat sabar itu indah. Teruslah berusaha, setiap apa yang Allah
uji kita ada hikmahnya,” tulisnya
Entri
tersebut mendapat perhatian peminat Siti yang rata-rata mendoakan agar proses
kehamilan penyanyi itu dan kelahiran bayinya dipermudahkan.
Siti yang juga isteri kepada
Datuk Sri Khalid Mohd Jiwa telah mengumumkan kehamilannya dan kandungannya yang
berusia empat bulan pada Jumaat lalu.
Foto: Instagram Rozi Sangdewi,
Teks: gempak
Via HimpunanMedia
Teks: gempak
Via HimpunanMedia






0 comments:
Post a Comment