KEBERSIHAN sesebuah negara itu
melambangkan sikap rakyatnya. Jika rakyatnya pembersih, maka negara itu pun
bersih, tetapi jika sebaliknya, banyaklah penyakit yang dihidapi penduduknya.
Sekitar April
lalu, Ipoh di Perak telah dinobatkan sebagai bandar raya terbersih di Malaysia
dengan kumulatif mata sebanyak 97.45. Tetapi, adakah hanya bandar-bandar besar
sahaja yang perlu kelihatan bersih?
Bagaimana pula
dengan kawasan-kawasan rekreasi atau tempat tumpuan yang lain? Adakah kita
hanya membiarkan pelancong asing yang datang ke Malaysia melihat sampah
bersepah begitu sahaja?
Semalam,
seorang Pakar Kardiologi Institut Jantung Negara (IJN), Dr. Beni Isman Rusani
ada memuat naik satu kicauan menerusi akaun Twitter yang menunjukkan sikap
pengotor dan pemalas rakyat Malaysia.
Dalam tweet tersebut,
Dr. Beni seakan-akan mempertikaikan segelintir pihak yang buang sampah
merata-rata walaupun ada tong sampah diletakkan pihak berkuasa berdekatan
dengan kawasan tersebut.
Dia
juga ada menyatakan tiada tong sampah diletakkan di tempat awam di Tokyo,
Jepun, tetapi taman serta jalan raya di sana sentiasa bersih sehinggakan
longkang pun boleh didiami ikan koi.
Kicauan pegawai
perubatan tersebut menerima reaksi pelbagai daripada netizen malah menjadi
tular di media sosial apabila mendapat hampir 2,000 tanda suka selain diulang
kicau lebih 3,000 kali.
Ramai juga
netizen bersetuju dengan tweet Dr. Beni.
Malah, ada komen sesetengah individu bukan malas tetapi lebih kepada geli untuk
pegang penutup tong sampah kononnya ia kotor dan sebagainya.
Seorang
pengguna laman itu yang dikenali sebagai Elman Mohd Tahir turut menyatakan
etika dan mentaliti masyarakat kita masih rendah dibandingkan negara lain dan
berharap kebiasaan suka buang sampah merata ini dapat diubah segera.
Hakikatnya
apa yang diluahkan Dr. Beni ada kebenarannya apabila di Malaysia, keadaan
persekitaran masih kotor walhal boleh dikatakan banyak tong sampah yang
diletakkan di setiap kawasan.
Mungkin ada
pihak menyatakan tiada kempen kesedaran yang dijalankan tetapi rasanya dakwaan
itu meleset sama sekali kerana setiap tahun pasti ada sahaja kempen tentang
kebersihan yang dijalankan.
Jika terdapat
banyak kempen tentang kebersihan tetapi sikap malas dan tidak bertanggungjawab
manusia masih bermaharajalela dalam diri, kempen itu sekadar angin lalu sahaja.
Walau apapun,
ia berbalik kepada individu itu sendiri. Jika dari kecil sudah dibiasakan untuk
tidak membuang sampah merata, pasti amalan itu akan berkekalan sampai
bila-bila.
Lebih
bagus jika semua masyarakat Malaysia dapat bantu mengasingkan sampah yang boleh
dikitar semula dengan sampah yang perlu dilupuskan. Sekurang-kurangnya kuantiti
sampah di negara kita mungkin berkurangan.
Cuba lihat
negara maju seperti Jepun dan Singapura, mereka berjaya melahirkan tunggak
negara yang berjaya belaka sehingga pekerja kebersihan tidak perlu bertugas
teruk mengutip sampah dibuang merata-rata.
Untuk
mendapatkan produk negara yang berjaya, sudah semestinya kesihatan mereka
terjaga dan mendapatkan kesihatan yang baik pasti kebersihan sangat
dipentingkan. Bukankah kebersihan menjamin kesihatan manusia?
Jadi, sampai
bila kita mahu harap orang lain yang akan buang sampah yang telah kita buat?
Atau adakah kita juga perlu contohi Singapura hukum denda individu yang buang
sampah di tempat awam? Fikirkan. – MYNEWSHUB.CC
0 comments:
Post a Comment