KUALA LUMPUR – Nuan Nuan, anak
panda gergasi betina yang dilahirkan di Malaysia, akan pulang ke China pada 14
November, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi
Tuanku Jaafar.
Beliau berkata,
anak panda gergasi itu akan dihantar terus ke Pengkalan Panda Dujiangyan di
Sichuan, China, oleh Malaysia Airlines Berhad (MAB) Kargo Sdn Bhd.
“Anak panda
seberat 82kg itu kini menjalani latihan dengan dimasukkan ke dalam sangkar khas
selama beberapa jam sehari untuk membiasakan diri dengan ruang yang mengehadkan
pergerakannya.
“Nuan Nuan akan
dipisahkan daripada ibunya dan hanya akan dipertontonkan kepada umum semasa
hujung minggu, cuti am dan cuti sekolah,” katanya ketika berucap pada majlis
perpisahan bagi Nuan Nuan di Pusat Konservasi Panda Gergasi (GPCC) di sini pada
Khamis.
Wan Junaidi
berkata sungguhpun keputusan untuk menghantar Nuan Nuan pulang ke China
merupakan suatu keputusan yang sukar dibuat, terdapat kemungkinan negara ini
akan menyaksikan anak panda gergasi kedua di masa depan.
“Nuan Nuan,
bertepatan dengan namanya, membawa begitu banyak kegembiraan kepada semua rakyat
Malaysia dan pengunjung sejak lebih 26 bulan lepas dengan kelincahannya dan
sentiasa sihat,” katanya.
Beliau berkata
orang ramai masih boleh mengunjungi Nuan Nuan diGPCC pada setiap hujung minggu
dan cuti umum sehingga 12 November.
Nuan Nuan, yang
bermaksud ‘mesra’, dilahirkan pada 18 Ogos di GPCC, 15 bulan selepas ketibaan
ibu bapanya Xing Xing dan Liang Liang.
Xing Xing dan
Liang Liang datang ke Malaysia pada 21 Mei 2014 bersempena ulang tahun ke-40
Hubungan Diplomatik Malaysia-China.
Pasangan panda
itu akan berada di Malaysia bagi tempoh 10 tahun.
Dalam
perjanjian yang dimeterai antara kedua-dua negara pada 15 Jun 2012, mana-mana
anak panda yang dilahirkan di Malaysia perlu dihantar pulang ke China sebaik
sahaja anak panda itu mencapai umur dua tahun. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment