Bukit Beruntung: “Orang gila, kerja bodoh!”. Itu antara kata
yang sering dilemparkan segelintir masyarakat kepada Mohd Rohizan Ramli, 38,
yang sanggup meninggalkan kerjaya sebagai penulis skrip drama untuk menjaga
kebajikan hampir 100 kucing jalanan sejak awal tahun ini.
Rohizan bagaimanapun tidak menyesal meninggalkan kerjayanya
sebagai penulis skrip, malah lebih bahagia apabila tidak lagi dibelenggu tarikh
akhir bagi skrip yang ditulis.
Kata-kata negatif yang dilemparkan kepadanya juga hanya masuk
telinga kiri, keluar telinga kanan Rohizan sebaliknya usaha menyelamatkan
kucing jalanan semakin aktif dijalankan.
“Saya terikat dengan tarikh akhir semasa menulis skrip dan
tumpuan terhadap kucing ketika itu memang terjejas. Saya hanya sempat
membersihkan mereka dan memberi makan mengikut jadual.
“Namun, tanpa diduga 13 kucing mati secara bergilir-gilir dalam
masa sebulan dan perkara itu betul-betul membuatkan saya tertekan sehingga saya
nekad untuk berhenti kerja akhir tahun lalu,” katanya ketika ditemui di pusat
perlindungan kucingnya di sini, semalam.
Bergantung dengan bantuan orang ramai dan wang simpanan, Rohizan
boleh disifatkan sebagai penyelamat haiwan sepenuh masa apabila dia sanggup
menyewa kedai pada harga RM1,200 sebulan untuk menguruskan pusat perlindungan
yang dibina bersama arwah rakan baiknya tanpa mengaut sebarang keuntungan.
“Pada mulanya memang saya jangka akan berlaku kesulitan selepas
saya berhenti kerja, namun rezeki Allah SWT sentiasa dijanjikan untuk hamba-Nya
yang berusaha.
“Saya diberikan banyak pekerjaan baru yang semuanya membabitkan
kucing juga iaitu merapikan kucing, menjual makanan kucing, menjaga kucing di
rumah orang dan memberi makan ubat kepada kucing yang sakit. Malah, saya masih
menulis buku pada waktu lapang.
“Dengan wang bantuan orang ramailah saya boleh membayar
keperluan semua kucing dan adakalanya saya terpaksa berhutang untuk membeli
ubat mereka kerana itu yang lebih penting,” katanya yang berasal dari Beseri,
Perlis.
Rohizan yang dikenali dengan nama pena Janjira berkata, dia
kesal dengan sikap segelintir masyarakat yang tidak bertanggungjawab dengan membuang
kucing peliharaan di depan rumahnya selepas mengetahui aktivitinya
menyelamatkan haiwan berkenaan.
“Saya hanya menyelamatkan kucing yang tidak bertuan kerana ia
perlu diberi makan dan ubat sekiranya sakit. Namun, masih ada yang sampai hati
meletakkan kucing di depan rumah saya sebelum ini kerana tidak larat atau
enggan menjaganya lagi.
“Keadaan ini semakin menyempitkan kewangan saya kerana gaji
bulanan saya hanya mencecah RM2,000 sedangkan perbelanjaan sebenar melebihi
RM5,000 untuk membeli makanan dan ubat-ubatan,” katanya.
Setakat ini, Rohizan memiliki hampir 100 kucing yang 50
daripadanya berpenyakit seperti lumpuh seluruh badan, sporotrikosis, ketumbuhan
di perut, kurap, buta dan banyak lagi.
“Jika saya ternampak kucing sakit, tidak bertuan dan sedang
sarat bunting, saya akan terus bawa ke pusat perlindungan kerana saya percaya
sukar bagi mereka untuk hidup di dunia luar.
“Puas hati saya apabila melihat kucing yang dahulunya kurus,
sekarang sudah gemuk dan bebas daripada penyakit. Biarlah saya tak makan,
tangan saya penuh calar selepas dicakar kucing atau saya terpaksa berkongsi
tilam dengan kucing, asalkan mereka dapat hidup dengan selesa,” katanya.
Menjelaskan mengenai lokasi pusat perlindungan berkenaan yang
agak terpencil, Rohizan berkata, dia sebenarnya yang menumpang di rumah kucing
itu dan lokasi itu sesuai ditubuhkan pusat perlindungan kerana jauh daripada
orang ramai.
“Walaupun membela binatang adalah perbuatan terpuji, perasaan
jiran tetangga serta masyarakat sekeliling perlu diambil kira.
“Memanglah bela binatang ini orang kata dapat pahala tetapi
paling utama kita kena jaga perasaan jiran kita. Tak guna kalau kita bela
binatang tapi jiran marah. Saya memang utamakan keselesaan jiran. Jadi saya
rasa lokasi sini agak bagus kerana jauh sikit daripada orang.
“Tingkat bawah saya tempatkan kucing sakit dan tingkat atas
untuk kucing yang sihat,” katanya.
Ditanya mengenai pasangan hidup, Rohizan mencari seseorang yang
mempunyai minat fanatik terhadap kucing kerana tidak semua boleh menerima gaya
hidupnya yang sudah diabdikan untuk kebajikan kucing terbiar.
Orang ramai yang ingin
menghulurkan bantuan bolehlah berbuat demikian menerusi akaun Rohizan
12100036899525 (CIMB) atau hubunginya di talian 010-3866733 atau 019-2966223
untuk maklumat lanjut.
0 comments:
Post a Comment