Imej rock yang ditonjolkan begitu bertentangan dengan karakter
sebenar si penjinak kucing ini. Tapi bagi peminat atau penggemar haiwan comel
itu, nama Jackson Galaxy atau lebih dikenali sebagai Cat Daddy, pasti tidak
asing buat mereka.
Figura terkenal dengan dunia kucing dalam rancangan Animal
Planet, My Cat From Hell itu baru-baru ini dalam siri promosi rancangan
berkenaan di negara ini berkongsi pengalaman menarik mengenai kelaziman tingkah
laku buruk haiwan itu serta berkongsi petua untuk memberikan jagaan terbaik
buat kucing peliharaan.
Berbekalkan lebih 15 tahun pengalaman dan teknik latihan
terbukti yang ditimba sepanjang pembabitannya dalam kerja mengendalikan pusat
perlindungan haiwan dan khidmat perunding peribadi, Jackson menjelajah ke
seluruh Amerika Syarikat untuk membantu tuan pemilik kucing mengatasi kesulitan
yang dialami mereka. Kepakaran Jackson ditagih bagi menangani sifat agresif
melampau yang dimiliki haiwan peliharaan mereka itu.
Pemelihara kucing pasti memiliki pelbagai jenis kucing yang
masing-masing memiliki kelakuan dan karakter tersendiri, malah ada kalanya si
kucing memiliki sifat buruk seperti terlalu penakut, galak atau garang hingga
pemeliharanya mengalami kesukaran untuk mengatasinya.
Jackson sudah dekat dengan kucing sejak awal kariernya sebagai
petugas penyelamat kucing di sebuah organisasi kemanusiaan iaitu Humane Society
di Boulder Valley, Colorado dan ketika itu Jackson mulai mempelajari tingkah
laku kucing secara mendalam.
Jackson sempat menjadi perunding untuk pemelihara kucing bersama
seorang doktor haiwan, Dr Jean Holfve pada 2002 di sebuah syarikat bernama
Little Big Cat Inc. Minatnya terus berlanjutan hingga berpindah ke Los Angeles
pada 2007 dan meneruskan profesionnya sebagai perunding untuk kucing.
Tugasnya berdasarkan
panggilan pemelihara kucing yang mengalami kesukaran mengatur
perilaku kucing dan Jackson datang ke tempat pelanggan dengan merubah pola
tingkah laku si kucing agar lebih baik bersama pemeliharanya.
Di Los Angeles, karier Jackson semakin cemerlang dan makin
membulatkan tekadnya untuk menjadi pakar mengenal tingkah laku kucing. Dia
menjadi hos untuk beberapa program televisyen Animal Planets iaitu Cats 101,
selain rancanganThink Like A Cat.
Bermula 2011, Jackson mengendalikan rancangannya sendiri , My
Cat From Hell yang ditunggu-tunggu pencinta kucing. Program ini memerlukan
Jackson sebagai pengantara dan juga pakar tingkah laku kucing yang akan
memberikan penyelesaian bagi mengatasi tingkah laku kucing yang sukar diatur
oleh pelanggannya. Sejak itu, rancangan berkenaan menjadi siulan dan memiliki
kelompak peminat dalam kalangan pencinta kucing.
Jackson turut mengendalikan program Cat Mojo pada 2013 yang mana
dia sering memberikan pendapatnya mengenai semua isu berkaitan kucing selain
berkongsi pengalamannya sebagai pakar tingkah laku kucing, dari isu yang remeh
hingga tahap serius.
Jackson turut menekankan bahawa pekerjaan sebagai pasukan
penyelamat kucing amat berbeza dengan petugas penangkap kucing.
“Pasukan penyelamat kucing adalah kelompok yang tidak akan
meninggalkan seekor kucing pun yang terlantar di jalanan dalam keadaan yang
memerlukan perhatian, sakit dan kelaparan.
“Mereka selalu memberi makan kucing yang kelaparan di jalanan
dan mengubati kucing yang sakit. Kucing yang mereka jumpai biasanya tidak
dibawa ke tempat mereka bekerja sebaliknya dibiarkan di jalanan tetapi tetap
dengan pengawasan mereka setiap hari.
“Jika kucing yang ditangkap dan dikurung, ada kemungkinan kucing
yang tidak dapat dipelihara akan dimusnahkan. Bukankah lebih baik jika kita
mengambil dan memelihara kucing itu. Kita tidak hidup sendiri, maka manfaatkan
dan hargailah apa-apa kehidupan yang berada di sekitar kita,” katanya.
Menurutnya, setiap orang harus peka terhadap kucing di
persekitaran kita dan jangan pernah membezakan antara kucing jalanan, kucing
rumah atau kucing kurungan kerana kucing adalah haiwan yang sangat setia pada
pemeliharanya dan memerlukan bantuan kita untuk merasa disayangi dan dianggap
wujud.
Selain itu, Jackson turut memberi petua mengawal dan bermain
dengan kucing. Cara yang tepat bermain dengan kucing adalah permainan berburu
kerana kucing adalah pemburu semula jadi.
Menjadi tanda pengenalannya, Jackson membuka kotak gitar
legendanya dan mengeluarkan permainan berburu untuk kucing sekali gus
menunjukkan cara yang betul melatih naluri berburu dengannya.
“Kita perlu membuat gerakan permainan terbabit seperti gerakan
haiwan yang diburu oleh kucing misalnya burung dan tikus, sehingga si kucing
tertarik untuk menerkam mainan itu,” katanya.
Jackson turut menasihati
pemelihara agar menyediakan rumah yang mesra kucing supaya kucing selesa berada
di rumah. Antara yang boleh dibuat dengan mudah ialah menyediakan papan atau
platform di tempat tinggi kerana kucing gemar berada di tempat tinggi.
0 comments:
Post a Comment