KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan akan memastikan
tiada lagi penjaja tepi jalan menjelang tahun 2020.
Menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata semua
peniaga itu akan dipindahkan ke tempat lain atau berniaga menggunakan kenderaan
saji.
Katanya, pihaknya juga akan mempastikan tiada lagi peniaga yang
memasak di tepi jalan, sebaliknya perlu memasak di tempat lain dan membawa
makanan untuk dijual ditempat yang disediakan.
"Ketika ini terdapat ribuan peniaga tepi jalan di Wilayah
Persekutuan. Cadangan ini juga akan membabitkan penjaja yang menjual pisang
goreng atau nasi lemak di tepi jalan yang akan dipindahkan.
"Kita akan naik taraf peniaga di tepi jalan ini kepada
sistem yang berbeza selain akan menyediakan ruang berniaga yang khusus untuk
mereka," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan
Persidangan Agung Tahunan 2017 Badan Perhubungan Kongres Indian Muslim Malaysia
(KIMMA) Wilayah Persekutuan di Wisma Sejarah di sini, hari ini.
Yang turut hadir Presiden KIMMA, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader
dan Pengerusi Badan Perhubungan KIMMA Wilayah Persekutuan, Asraf@Mohaideen Abdul
Kadar Kamaldin.
Terdahulu, sewaktu berucap, Tengku Adnan turut meminta kepada
semua masyarakat India Muslim supaya menjadikan hanya KIMMA sebagai medan untuk
mereka bernaung.
Ini disebabkan, katanya, ketika ini pihaknya dapati wujud banyak
persatuan yang mahu mewakili India Muslim.
"Saya tidak tahu kenapa kebelakangan ini mahu tubuhkan
terlalu banyak persatuan lain. Kenapa tidak KIMMA sahaja, tidak perlu tubuh
persatuan itu, persatuan ini.
"Saya percaya KIMMA mempunyai perlembagaan. Begitu juga
UMNO dan negara. Kita ikutlah perlembagaan, jangan ikutkan hati.
"Tolonglah beritahu kepada rakan-rakan India Muslim,
cukuplah. Di bawah naungan KIMMA kita perbaiki dan perkuatkan KIMMA, bersatu di
bawah panji KIMMA, apa yang India Muslim minta akan dapat kerana bersatu itu
teguh bercerai roboh," katanya.
Sementara itu, Syed Ibrahim berkata, pihaknya menyokong cadangan
kerajaan mahu memindahkan peniaga tepi jalan ke ruang niaga yang disediakan.
Katanya, ia berikutan, peniaga tepi jalan mengundang risiko dari
segi kesihatan selain mengganggu lalu lintas.
INFO
1976 - KIMMA ditubuhkan
174,000 ahli
0 comments:
Post a Comment