Sunday, September 17, 2017

Filled Under:

'Tak rasa akan kahwin awal'



Populariti diraih pelakon Janna Nick menjadikannya antara pelakon wanita yang menjadi rebutan kebanyakan stesen TV dan rumah produksi.
Menariknya, kehadiran Janna atau nama sebenarnya Nurul Janna Muner, 22, dalam bidang ini bukan bersandar kepada penampilan semata-mata tetapi bakat lakonan yang dimilikinya.
Pada masa sama, kemampuan Janna melakonkan pelbagai watak meletakkan dia sebagai pelakon yang berada dalam kelas tersendiri. Sejak muncul menerusi drama Syurga Nur tiga tahun lalu kemudian membintangi beberapa drama hebat lain, jadual lakonan Janna sentiasa padat.
Sehinggakan Janna mengakui dia terlupa memberi masa untuk diri sendiri terutama dalam soal mencari pasangan.

“Sejujurnya, kesibukan kerjaya sekarang membuatkan saya tidak ada masa untuk bercinta. Kalau ada pun, saya pasti dia ‘lari’ dan tidak tahan. Bukan apa, saya terfikir belum tentu mampu dapat meluangkan waktu bersama.
“Diakui ada ketika dan pernah cuba untuk bercinta, namun keadaan tidak mengizinkan. Jadi jalan terbaik adalah saya berkawan saja. Lagipun, saya tidak berasa akan berkahwin awal. Tambahan pula usia saya masih muda,” katanya.
Menurut Janna yang popular menerusi drama Kau Aku Kita, kala pada usia muda inilah masa untuknya bekerja dan menjana pendapatan. Malah Janna tidak kisah jika perlu berpenat dan melalui tahap kesukaran. Baginya, itu semua pengalaman yang akan mematangkan diri.
“Saya tidak kisah jika jadual kerja padat. Ketika usia muda inilah masa dan peluang terbaik untuk mengejar apa yang diimpikan. Selama ini, sedikit pun saya tidak merungut sebaliknya gembira dengan apa dilalui.
“Orang kata, bersusah-susah dulu, bersenang-senang kemudian. Jadi, bukan masalah jika saya berpenat sekarang. Malah saya okey dengan kerja yang ada,” katanya.
Terbukti penat lelah dan jerih-perih bergelar anak seni membuahkan hasil apabila Janna dilantik menjadi duta produk. Terbaru dia dipilih duta jenama telefon pintar Vivo dan PLUS.
“Alhamdulillah, inilah yang dinamakan rezeki. Saya percaya apa yang diterima adalah berkat usaha dan kerja keras dalam bidang ini. Paling penting, di sebalik kejayaan saya ada banyak pihak membantu. Terima kasih kepada pihak pengurusan yang mempercayai bakat saya.
“Apa yang diterima ini juga menjadikan saya lebih bersemangat untuk terus berjaya. Saya tidak mahu ia terhenti setakat ini saja. Saya inginkan lebih banyak kejayaan. Tidak boleh dilupakan, jasa peminat yang sentiasa menyokong kerjaya saya,” katanya.
Ambil masa cipta keserasian
Selepas bergandingan dengan Saharul Ridzwan, Shukri Yahaya dan Ashraf Muslim, terbaru Janna disatukan pula dengan hero sensasi Fattah Amin dalam drama bersiri pembikinan semula Coffee Prince.
Biarpun banyak pihak mengkritik lakonan Fattah menerusi beberapa drama lakonannya sebelum ini, Janna tetap percaya dia mampu mengatasi isu itu. Janna mengaku, meskipun terpaksa mengambil masa hampir sebulan untuk mencipta keserasian dengan Fattah, dia berjaya melakukannya.
“Mulanya memang saya rasa tertekan. Apatah lagi sebelum memulakan penggambaran drama itu tercetus pelbagai kontroversi membabitkan Fattah. Jadi, dua minggu pertama penggambaran saya berasa susah nak mendalami karakter watak saya sekali gus menyukarkan kami mencipta keserasian. Kami ambil masa hampir sebulan untuk betul-betul kelihatan serasi dalam lakonan dan skrin,” katanya.
Janna juga menyifatkan gandingannya denganFattah satu cabaran dan dia suka berhadapan perkara sebegitu.
“Kalau sering berlakon dengan hero sama, nanti penonton bosan. Dari segi lakonan pula, saya sudah tahu gaya dan teknik lakonan mereka. Jadi apabila berlakon dengan orang lain, saya perlu bijak.
“Macam dengan Fattah, saya okey saja. Tidak pula sampai tahap seperti yang difikirkan oleh kebanyakan pihak. Bagi saya, Fattah seorang pelakon yang memberikan komitmen tinggi. Susah nak jumpa pelakon lelaki seperti Fattah.
“Paling penting juga, dia tidak menyusahkan saya. Pendek kata segalanya berjalan lancar dan saya percayakan sentuhan pengarah Michael Ang,” katanya.
Drama yang bakal disiarkan pada 14 Oktober ini di saluran Astro Ria memerlukan Janna melakonkan watak lelaki. Disebabkan itu, Janna terpaksa berambut pendek.
“Saya sudah biasa rambut pendek, jadi tak ada masalah. Malah fesyen rambut ini saya yang pilih sendiri untuk disesuaikan dengan watak. Bagi menjayakan watak itu, saya juga perlu memakai bengkung bagi menutup dada agar ia kelihatan seperti lelaki. Memang sakit setiap kali saya pakai dan bukannya sekejap tetapi dalam tempoh lama,” katanya.






0 comments:

Post a Comment