Sunday, September 17, 2017

Filled Under:

Nilai 'RM270,000'





Shah Alam: “Demi minat, saya sudah mengeluarkan modal lebih RM270,000 semata-mata untuk mendapatkan 16 ekor kucing jenis Maine Coon yang semuanya diimport dari Russia,” kata peserta Fiesta Haiwan Peliharaan, Sarah Rachel Gah, 40, di sini, semalam.
Dia antara peserta yang menjadi tumpuan berikutan saiz haiwannya itu seakan-akan anak harimau selain sifat manja kucing berkenaan terutama apabila berada di hadapan orang ramai.
Menurutnya, dia membela kucing jenis Maine Coon itu sejak Mei tahun lalu dengan kos penjagaan semua haiwan itu RM5,000 sebulan.
“Kucing ini memang manja dan bersifat melindungi terutama kepada kanak-kanak yang menerima ancaman.

“Pada Disember tahun lalu, kucing saya ini menunjukkan perubahan ketara pada bekas orang gaji saya. Saya pelik dan membuat kajian melalui Internet serta buku,” katanya.
Menurutnya, dia ada terbaca yang jika kucing berkenaan berubah sikap pada seseorang, individu berkenaan ada membuat ancaman pada kanak-kanak.
“Saya kemudiannya memasang kamera litar tertutup (CCTV) tanpa pengetahuan orang gaji berikutan bimbang jika orang gaji memukul anak saya.
“Terkejut apabila rakaman menunjukkan dia memukul anak saya. Berikutan itu saya laporkan pada polis dan memberhentikannya dengan segera,” katanya.
Menariknya, semua kucingnya itu dipasangkan kipas walaupun tempat yang disediakan untuk pertandingan sudah mempunyai pendingin hawa.
“Semua kucing saya memang tidak boleh panas kerana mudah berpeluh. Orang yang sayang kucing saja tahu bagaimana perasaan membela haiwan ini,” katanya.
Sementara itu, Presiden Kelab Kucing Malaysia (KKM) Khalid Rashid berkata, fiesta itu diadakan awal sempena Hari Haiwan Sedunia pada 4 Oktober ini.
“Mereka yang suka kucing boleh datang saksikan sendiri pelbagai jenis haiwan dari pelbagai baka serata dunia di fiesta ini.
“Pelbagai jenis haiwan boleh disaksikan sempena Fiesta Haiwan Peliharaan itu termasuk burung, ikan laga, arnab dan pelbagai lagi mulai semalam dan berakhir hari ini,” katanya.






0 comments:

Post a Comment