Setiap kali menonton filem Bujang Lapok lakonan Allahyarham Tan
Sri P Ramlee, Allahyarham S Shamsuddin dan Allahyarham Datuk Aziz Sattar,
penonton pasti terpikat dengan watak kanak-kanak bernama Ayu.
Ayu ibarat penyimpan rahsia percintaan di antara Sudin dan
Zaiton dan perlu disogok dengan duit 20 sen sekiranya diminta mengunci mulut
oleh Zaiton atau diminta oleh ibu mereka supaya membuka rahsia kakaknya.
Ramai tertanya-tanya siapakah Ayu yang karakternya begitu
mencuit hati ini? Biarpun pelakon cilik, dia ibarat antara tonggak penting
cerita Melayu pada era Studio Jalan Ampas, Singapura ini.
Ayu atau Sri Rahayu, kini berusia 65 tahun dan menetap di
Cheras, Kuala Lumpur bersama keluarganya. Dia berkahwin dengan Muhammad Ghazi,
73, dan dikurniakan dua anak, Sri Ikarostika Rahayu, 44, dan Muhammad Syarzril,
35, serta mempunyai lima cucu.
Ayu berkata, ketika berlakon filem Bujang Lapok, usianya empat
tahun setengah. Dia dipilih kerana bapanya penolong pengarah cerita ini.
“Sebaik bapa pulang dari studio, dia beritahu saya P Ramlee mahu
ambil saya berlakon. Saya terus bersetuju kerana sering dibawa bapa ke studio
dan biasa dengan semua pekerja.
“Bujang Lapok filem pertama lakonan saya dan impaknya memang
besar. Ramai yang kenal saya hanya kerana karakter Ayu,” katanya.
Ayu akui ketika kanak-kanak, dia sangat nakal dan sering
berseluar pendek tanpa baju. Dalam Bujang Lapok, dia perlu terlebih dahulu
tampil berambut panjang untuk babak P Ramlee membelanja Rokiah dan 10 lagi
adik-beradiknya makan.
“Saya kena melompat-lompat di atas meja makan restoran itu.
Kemudian barulah rambut saya dipotong pendek untuk melakonkan watak Ayu.
“Nama saja Ayu tapi karakter saya seperti lelaki. Skrip pula
hanya diberikan ketika di lokasi dan saya hafal sebelum penggambaran dibuat.
Kalau diberi awal pun bukannya saya nak baca,” katanya.
Ketika proses ‘dubbing’ suara, Ayu perlu mengingati betul-betul
dialog agar selari dengan pergerakan mulutnya.
“Selepas habis penggambaran, saya memang kena masuk ‘dubbing
room’ untuk proses ini. Saya ditemani bapa dan apabila sampai bahagian saya,
dia akan menepuk bahagian belakang badan sebagai isyarat supaya saya bercakap.
“Penggambaran dilakukan di satu perkampungan bernama Pulau Tiban
dan sebahagian lagi di studio,” katanya.
Dua filem lain tidak jadi
Ayu menganggap pembabitannya dalam Bujang Lapok satu kenangan
manis kerana filem ini masih diminati sampai sekarang. Generasi baru pun suka
menonton Bujang Lapok.
“Dulu kebanyakan jiran tak tahu sayalah Ayu dalam filem ini.
Lama-kelamaan barulah mereka tahu perkara sebenar,” katanya.
Selepas Bujang Lapok, Ayu sepatutnya terbabit dengan filem
Golden Trumpet (judul sementara) arahan pengarah Filipina.
Bagaimanapun, berlaku kemalangan ketika pengarah itu pulang ke
Filipina mengakibatkan kematian isterinya sehingga memaksa projek ini
dibatalkan.
“Saya juga sepatutnya melakonkan watak Pekan dalam filem Batu
Belah Batu Bertangkup. Bagaimanapun bapa melarang kerana tak nak saya terlalu
aktif berlakon.
“Akhirnya watak ini
diberikan kepada Bad Latiff. Saya tak rasa kecewa pun. Selain itu, saya juga
pernah tampil sebagai penari dalam filem Lampong Karam,” katanya.
0 comments:
Post a Comment