KANGAR – Banjir yang melanda
Perlis sejak 21 September lepas selain menyebabkan banyak kelengkapan rumah
rosak turut membawa rezeki apabila banyak ikan air tawar terperangkap dalam
sawah, parit serta longkang dan di atas jalan raya yang dinaiki air.
Pelbagai kaedah
digunakan untuk menangkap ikan puyu, sepat dan haruan. Ada yang memilih
menggunakan pancing, menjala dan memukat.
Tinjauan Bernama mendapati
di kawasan-kawasan banjir, suasana seperti pesta apabila orang ramai yang turut
dibantu oleh keluarga masing-masing menggunakan pelbagai kaedah dan kemahiran
masing-masing untuk menangkap ikan air tawar itu.
Suasana lebih
meriah selepas waktu bekerja.
Seorang
pemancing, Ibrahim Salleh, 43, dari Abi berkata beliau membawa isteri dan
anak-anaknya untuk memancing dalam sawah dan parit di tepi jalan raya di
Kampung Panggau dan memperoleh banyak ikan puyu, sepat dan juga haruan.
Kassim Bakar,
38, dari Mata Ayer pula berkata sepanjang tiga hari lepas beliau menggunakan
jala dan banyak memperoleh ikan puyu, haruan dan sepat yang agak besar
berbanding memancing.
“Ikan-ikan ini mungkin terlepas keluar dari kolam-kolam ternakan
apabila banjir melanda,” katanya semasa ditemui semasa menjala dalam parit di Kubang
Gajah berhampiran rumahnya di sini, petang semalam.
Abdul Kadir
Jaya, 41, dari Beseri berkata beliau tidak melepaskan peluang untuk memancing
yang menjadi hobinya dan memperoleh banyak ikan puyu.
“Saya biasa memancing di laut, namun banjir ini telah membawa
rezeki untuk kami apabila banyak ikan terperangkap dan peluang tidak harus
dilepaskan. Ikan puyu ini sedap dibuat asam pedas selain digoreng,” tambahnya. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment