Seorang surirumah ditemui
mati dengan kesan tikaman di perut dan dada, dipercayai dibunuh di rumahnya,
hari ini, lapor Harian Metro.
Dalam kejadian jam 8 pagi di rumahnya di Kampung Hijrah, Penor,
mangsa, Norhasilah Ismail, 34, dikatakan baru pulang dari menghantar dua
anaknya ke sekolah sebelum menyedari rumah mereka dipecah masuk seorang lelaki
dipercayai ingin menyamun.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh
berkata, ketika kejadian itu berlaku, anak lelaki mangsa berusia empat tahun
dikurung oleh suspek di dalam bilik.
“Berlaku pergelutan di antara mangsa dengan suspek menyebabkan
mangsa ditikam di perut sebelah kanan dan dada sebelah kiri menggunakan senjata
tajam.
“Mangsa ditemui oleh
suaminya yang baru pulang dari kerja pada jam 12.30 tengah hari di ruang tamu
rumah mereka. Siasatan masih dilakukan mengenai motif kejadian dan kami tidak
menolak kemungkinan ia berkaitan dengan samun.
“Kerugian dan barang yang hilang masih lagi disiasat polis
bersama pasukan forensik dan unit anjing pengesan K9,” katanya.
Anak lelaki mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan ketika
kejadian, suspek dilaporkan memakai topeng.
Abdul Aziz berkata,
pihaknya akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di
rumah mangsa bagi memburu suspek. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun
Keseksaan kerana membunuh dan jenazah mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan
Afzan (HTAA) untuk dibedah siasat.
Sementara itu, anak mangsa,
Mohd Aqil Nasrul, 4, menjerit “Mak kena tikam, mak kena tikam,” kepada
abangnya, Mohd Abid, 8, mengenai kejadian yang menimpa ibu mereka.
Menurut Mohd Abid, anak kedua dari tiga beradik itu memberitahu
ketika kejadian itu, dia baru pulang dari sekolah bersama bapanya, ternampak
adiknya dari tepi tingkap bilik menjerit memaklumkan kejadian sebelum dia
bergegas masuk ke dalam rumah.
“Saya tengok adik pucat, minta tolong. Dia menjerit beritahu mak
ditikam,” katanya.
Sebaik saja masuk ke dalam rumah, Mohd Abid membuka pintu bilik
di mana tempat adiknya dikurung dan terkejut apabila mendapati apa yang
diberitahu adiknya itu adalah benar sebelum memaklumkan kepada bapa mereka,
Nasrul Mansor, 32.
The Reporter
0 comments:
Post a Comment