KUALA LUMPUR - Kes demam denggi bagi tempoh 3
hingga 9 September menunjukkan peningkatan dengan 1,223 kes berbanding 1,171
kes pada minggu sebelumnya, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham
Abdullah.
Beliau berkata walaupun peningkatan itu
tidak ketara, langkah pencegahan dan kawalan perlu diambil segera supaya
trend pertambahan kes pada penghujung tahun seperti sebelum ini dapat
dibendung.
Bagaimanapun, katanya jumlah kumulatif kes
denggi yang direkodkan mengurang sebanyak 11,171 kes kepada 66,906 berbanding
78,077 kes dalam tempoh sama tahun lepas.
"Jumlah keseluruhan kematian demam denggi juga
telah menurun sebanyak 27 kematian dengan 149 kematian dilaporkan pada tempoh
sama tahun ini berbanding 176 kematian pada 2016," katanya dalam satu
kenyataan hari ini.
Dr Noor Hisham berkata sejumlah 438 lokaliti wabak
demam denggi dilaporkan di 14 negeri dan 71 lokaliti ‘hotspot’ semasa
direkodkan di enam negeri.
Dalam pada itu katanya satu kes chikungunya
direkodkan pada minggu tersebut di Sungai Udang, Yan, Kedah, menjadikan jumlah
keseluruhan kes chikungunya yang dilaporkan sehingga 9 Sept tahun ini ialah
sebanyak 255 kes iaitu 189 kes di Kedah, Selangor (33), Johor (24),
Kelantan (7) dan Perak, dua kes.
Dr Noor Hisham berkata setakat 9 Sept tahun
ini, pemantauan sistem survelan virus Zika oleh Makmal Kesihatan Awam
Kebangsaan dan Institut Penyelidikan Perubatan mendapati keputusan ujian
bagi 1,307 sampel darah dan 29 sampel air kencing dalam kalangan pesakit yang
menunjukkan gejala jangkitan virus berkenaan adalah negatif. - Bernama
0 comments:
Post a Comment