Pendang: “Arwah sebelum ini nakal sikit, tetapi sejak belajar di
pusat tahfiz itu setahun lalu, nampak perubahan pada dirinya apabila dia tidak
lagi nakal, tidak meninggalkan solat dan kelihatan sangat baik dan tertib.”
Begitu kata Nurfazliyzawantie Mahamad Forzie, 14, mengenai
sepupunya, Mohd Aidi Ahmad Zamzuri, 10, seorang daripada 23 mangsa yang
terkorban dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan
Keramat Ujung, Kuala Lumpur, semalam.
Menurutnya, dia amat terkejut dengan kejadian menimpa Mohd Aidi
dan kali terakhir mereka bertemu pada Aidilfitri lalu.
Imam Masjid Kampung Banggol, Baha’udin Ahmad, 70, berkata, dia
amat terkejut dan sebak apabila mengetahui cucu saudaranya meninggal dunia
dalam kejadian berkenaan.
Katanya, dia ada menonton berita pada jam 7 pagi semalam
mengenai kebakaran di pusat tahfiz itu dan tidak menyangka ia membabitkan cucu
saudaranya.
“Sejam lepas itu, seorang anak saudara menghubungi saya
memaklumkan kejadian menimpa arwah.
“Waktu itu saya baru balik membeli sarapan di kedai berhampiran
rumah dan sedih dengan apa yang berlaku,” katanya.
Menurutnya, mangsa sekeluarga menetap di Kuala Lumpur tetapi
pulang ke rumah mereka di kampung itu setiap tahun terutama pada hari raya.
“Bapa arwah, Zamzuri Zakaria membeli rumah di sini sebagai
tempat persinggahan ketika pulang ke kampung dan akan menetap di sini selepas
bersara sebagai anggota tentera,” katanya.
Baha’udin berkata, jenazah Mohd Aidi dijangka dikebumikan di
tanah perkuburan Islam di kampung itu sebaik selesai urusan di Hospital Kuala
Lumpur.
0 comments:
Post a Comment