Hampir jam 8.00
malam, dua orang gadis terus berkeliaran di sekitar puncak gunung jerai. Mereka
tercari-cari seseorang. Di puncak gunung itu, kedua-dua gadis ini telah bertemu
dengan seorang lelaki bernama Ramli bin Haji Khamis, 48. Dia bekerja dengan
sebuah organisasi yang terletak di puncak gunung itu. Sudah hampir 20 tahun
beliau bekerja di situ.
”Abang, kami nak bermalam di sini, di Padang Tok Sheikh,
boleh tak ? ” Tanya salah seorang daripada mereka. Namanya Rasidah. Kawasan
padang yang ditanyakan oleh gadis itu adalah sebuah tempat lapang di puncak
gunung itu. Ia dipanggil Padang Tok Sheikh.
En.Ramli bingung. Biasanya orang yang hendak berkhemah atau
berkelah di situ memang akan bertanya dan meminta kebenaran daripada beliau
terlebih dahulu. Boleh atau tidak, beliau yang akan putuskan.
Tapi kali ini beliau terpaksa menegah kerana sungguh tidak
molek anak gadis bermalam di situ. Lalu beliau menyuruh kedua-dua gadis yang
bertelekung ini pulang sahaja. Namun gadis-gadis itu enggan. ” Tolonglah bang,
malam ni aja. Lepas ni, kami takkan datang lagi,” pinta Rasidah lagi.
En.Ramli tidak mahu berganjak daripada keputusannya. Berulang
kali difikirkannya, apa gadis-gadis ini tidak takut dengan gunung ini ? Gunung
ini ‘bernyawa’. Ia banyak menyimpan cerita misterinya yang tersendiri.
Orang-orang di Gurun, Kedah, semuanya tahu puncak gunung itu
adalah perkampungan bunian. Di puncak itu ada sebuah kerajaan besar. Ada istana
dan pemerintahnya. Juga, ada kampung-kampung dan rakyat jelatanya.
Jadi, tidak perlu gadis-gadis tersebut bermalam di puncak
gunung itu. Bahaya! Nanti disorok orang bunian. Tetapi berulang kali beliau
menghalang, ada-ada saja alasan yang diterimanya.
”Kami dah janji dengan tok wan. Tok wan nak datang malam ni.
Bolehlah, bang…” rayu Rasidah, tinggi suaranya.
Tok wan mana pula, fakir En.Ramli. Ada sesuatu yang tidak
kena ! Segera beliau amati wajah kedua-dua gadis yang bertelekung ini. Air muka
mereka berdua manis dan berseri. Berumur sekitar awal 20-an. Salah seorang
daripada mereka senyap sahaja, hanya Rasidah yang bersuara. Pada pandangan
Ramli, gadis-gadis ini bukan jelmaan makhluk halus. Bukan… mereka bukan orang
bunian !
”Tolonglah, bang. Puteri dah mimpi semalam ! Tok wan nak
datang malam ni. Puteri dah janji dengan tok wan,” kata Rasidah lagi.
Puteri ? Siapa puteri ? Fikiran beliau semakin bercelaru.
Siapakah gadis-gadis ini sebenarnya ? Mengapa lain benar percakapan mereka ?
Lalu beliau cuba menakut-nakutkan mereka. En.Ramli katakan
yang hutan itu penuh dengan binatang buas. Di sekitar gunung itu sudah ramai
orang yang hilang nyawa diserang gajah meroyan, harimau, atau dipatuk ular,
kala jengking, bisa lipan bara dan binatang-binatang buas yang lain.
”Tak mengapa, bang. Tok wan ada, tok wan boleh halau
binatang-binatang tu. Puteri pun ada !” jawab Rasidah. Ah! En.Ramli semakin
terasa aneh dengan percakapan gadis ini. Siapa tok wan itu ? Siapa pula puteri
itu ?
Tiba-tiba, ada suara aneh hinggap ke telinga En.Ramli. Seakan
ada orang meniup-niup telinganya dan berulang kali suara itu menyebut Puteri
Delima. ”Puteri Delima. Puteri Delimaaaa !! ” beliau terpaku. Siapa yang
bercakap ? Darahnya mula berderau. Puteri Delima mana pula yang hendak datang,
fikirnya berulang.
”Sayalah Puteri Delima !” kata gadis yang duduk di sebelah
Rasidah. Gadis yang senyap sahaja dari tadi itu mulai bersuara. Matanya
berkilat. Kemudian dia tersenyum lebar dan ketawa terkekek-kekek. ”Ehh…
ehheeee…! Ehh… ehheeee… ! Saya nak jumpa tok wan ! Saya nak jumpa tok
waaaaaan!!!! ” kata gadis itu yang tidak putus-putus tersenyum dan memandang
Ramli.
En.Ramli tergamam. Terus dia benarkan gadis-gadis itu pergi
ke Padang Tok Sheikh kerana gadis-gadis ini bukan manusia biasa lagi. Mereka
sudah dirasuk bunian, beliau terpaksa tunaikan saja permintaan mereka.
Esoknya En.Ramli diberitahu rakan-rakannya, kedua-dua gadis
tersebut ada berjumpa dengan orang-orang yang bekerja di sekitar gunung itu.
Malam itu juga gadis-gadis tersebut telah dapat berjumpa dengan tok wan yang
dimaksudkannya. Dakwa kawan-kawan beliau, tok wan itu seorang lelaki tua dan
beserban hijau. Mereka berjumpa di Padang Tok Sheikh. Peristiwa ini baru
berlaku dua tiga tahun lepas.
Pada pengalaman En.Ramli, apa yang mereka lihat itu adalah
kelibat orang-orang bunian. Kawasan padang itu adalah salah satu daripada
penempatan orang-orang bunian tersebut. Hutan rimba di sekeliling padang dan
kawasan air terjun berdekatan juga adalah daerah kerajaan bunian.
Dahulu ada sekumpulan anak muda yang ternampak istana bunian
di tepi air terjun di situ. Mujur mereka cepat-cepat beredar. Kalau mereka
masuk ke kawasan istana itu, mungkin mereka semua akan hilang dibawa ke alam
ghaib.
Orang-orang bunian ini memang sungguh menawan paras rupa
mereka. Yang perempuan cantik, yang lelaki pula kacak. Ada para pemuda dan
pemudi yang mudah benar jatuh cinta apabila melihat makhluk-makhluk halus ini.
Mereka mengekori pemuda dan pemudi bunian itu ke dalam hutan
dan akhirnya, ramai yang telah tersesat. Malah ada yang terus hilang di hutan
rimba gunung itu, sampailah sekarang tidak ditemui.
En.Ramli sendiri selalu terlihat orang bunian yang masuk ke
dalam surau di puncak gunung itu. Di ketika yang lain, Ramli ternampak seorang
lelaki tua bunian yang berserban mengambil air sembahyang di perigi yang ada di
situ.
Sebenarnya En.Ramli sudah banyak melalui pengalaman dahsyat
yang dikatakan angkara makhluk-makhluk halus. Pada awal tahun 2000, ada seorang
lelaki berusia pertengahan umur 20-an telah hilang di gunung itu. Jadi, beliau
diminta untuk membantu usaha polis mencari pemuda tersebut kerana dia cukup
arif tentang kawasan pergunungan itu.
”Kita cari di sekitar air terjun dulu. Kalau tak jumpa juga,
kita redah hutan ni,”kata En.Ramli pada polis-polis tersebut. Tetapi sudah
hampir tiga hari, usaha mencarinya masih tidak membuahkan hasil. Tetap buntu.
Sehinggalah pihak polis terpaksa menggunakan anjing pengesan untuk mencarinya.
Akhirnya, pemuda itu berjaya juga ditemui setelah hampir
seminggu dicari. Pemuda itu dijumpai di sekitar kawasan hutan yang tidak jauh
dari kawasan air terjun tadi.
Malang sekali, pemuda itu sudah tidak bernyawa lagi. Mayatnya
ditemui dalam keadaan sungguh mengerunkan. Kepalanya putus. Dia seakan diserang
oleh gergasi. Badannya berlumuran darah dan penuh luka. Cebisan pakaiannya yang
koyak rabak bersepah-sepah diserata tempat. Apa sebenarnya yang telah terjadi ?
En.Ramli yakin ini bukan angkara binatang buas. Itu angkara
bunian kerana sebelumnya mereka sudah pun mencari di serata puncak gunung itu,
pemuda tersebut gagal ditemui. Tetapi mengapa beberapa hari kemudian tiba-tiba
sahaja mayatnya dijumpai berhampiran dengan air terjun itu ? Mesti ada sebab
yang lain.
En.Ramli percaya pemuda itu dibunuh dan disorok bunian.
Lagipun, kawasan air terjun itu dan hutan- hutan di sekitarnya adalah tempat
letaknya perkampungan bunian. Air terjun itu dipanggil tasik lima beradik
kerana ia adalah tempat lima orang puteri bunian bermandi-manda. Puteri-puteri
itu diceritakan terlalu cantik, tiada tandingan berbanding kecantikan manusia.
Sambil mandi, mereka ketawa beramai-ramai.
Beliau juga selalu mengingatkan para pengunjung, andainya
mereka melihat lima puteri yang jelita itu, janganlah sesekali tergoda. Apatah
lagi cuba-cuba menyimpan hajat mendekati mereka. Sesiapa yang terpedaya,
nescaya akan lenyap ke alam bunian, kemudian hilang dari alam nyata.
Di pinggir air terjun pula, kata En.Ramli, terletaknya istana
bunian. Istana itu tersergam indah. Di sekelilingnya terdapat perkampungan
bunian. En.Ramli memberi amaran kepada pengunjung, jangan dekati istana dan
perkampungan itu. Silap langkah mereka akan di bawa masuk ke alam bunian dan
terus lenyap.
Ramli percaya, pemuda yang mati itu telah termasuk ke alam
bunian tersebut. Walaupun kematian pemuda itu disahkan akibat serangan binatang
buas, tapi Ramli kurang setuju. “Ini kerja bunian,” berkali-kali dikatakan
begitu.
Oleh kerana itulah En.Ramli selalu mengingatkan para
pengunjung supaya jangan cakap besar, takbur dan riak. Kalau tidak, nanti dapat
kecelakaan. Tambah lagi buat perkara-perkara yang tidak elok, bala mungkin akan
menimpa.
”kalau ada apa-apa perkara yang pelik berlaku, jangan tegur.
Lebih baik, diam ! Kalau ternampak benda-benda yang ganjil, tinggalkan. Ini
kampung bunian ” pesan En.Ramli.
Gunung itu sering ‘mengambil nyawa’ manusia yang berniat
tidak baik. Mungkin ada benarnya ia angkara binatang buas, tapi bagi En.Ramli,
mungkin juga disebabkan orang bunian. Sama juga dengan kebanyakkan kejadian
orang mati lemas di kawasan air terjun di kaki gunung itu. En.Ramli percaya
semua itu angkara bunian.
Nama gunung itu, Gunung Jerai. Orang-orang di Gurun, Kedah
sentiasa berhati-hati apabila ke sana. Kalau ada orang luar yang mahu ke gunung
itu dan berjumpa En.Ramli, dia akan berpesan, ”hati-hati. Jangan main-main
dengan pengunggu Gunung Jerai ini. Tempat ini keras ! ”
0 comments:
Post a Comment