Sunday, August 20, 2017

Filled Under:

Petani Perlis Rayu PM Pertimbang Elaun Sara Hidup



ARAU – Lebih 40,000 petani di negeri ini meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempertimbangkan pemberian elaun sara hidup bulanan kepada mereka seperti yang dinikmati golongan nelayan.

Pengerusi Pertubuhan Peladang Perlis Datuk Tengku Aziz Tengku Jaafar berkata taraf hidup para petani tidak jauh beza dengan nelayan kerana berpendapatan mereka tidak tetap selain dipengaruhi cuaca.
“Para nelayan tidak dapat turun ke laut pada musim tengkujuh atau semasa angin kencang dan laut bergelora manakala petani pula tidak dapat mengerjakan sawah jika berlaku kemarau teruk,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Menurut Tengku Aziz, hujan berlebihan boleh menyebabkan banjir dan merosakkan tanaman.
“Boleh dikatakan dalam setiap mesyuarat agung Pertubuhan Peladang Kawasan, petani akan bangkitkan isu elaun sara hidup bulanan,” katanya.
Tengku Aziz berkata elaun yang dipohon oleh petani hanyalah RM300 sebulan untuk menampung perbelanjaan mereka.
“Jika kerajaan memberi alasan golongan petani tidak layak diberi elaun sara hidup kerana banyak subsidi diberikan kepada mereka seperti subsidi baja, racun dan benih padi, nelayan juga banyak mendapat subsidi untuk membeli pukat, minyak diesel, petrol dan bot,” tambahnya.
Katanya Pertubuhan Peladang Negeri sedang mengumpulkan usul berhubung perkara itu daripada PPK yang lain sebelum mengemukakannya kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata adalah wajar kerajaan memberi pertimbangan sewajarnya terhadap rayuan para petani kerana kebanyakan petani memiliki sawah tidak sampai satu hektar dan mengusahakannya sebagai punca pendapatan sara hidup. – BERNAMA






0 comments:

Post a Comment