PUTRAJAYA
– Walaupun berasal daripada keluarga yang susah, ia tidak mematahkan
semangat anak penoreh getah Nur Hanani Nor Azman untuk mengejar kecemerlangan
dalam bidang akademik demi cita-citanya ingin bergelar doktor bedah
bagi mengubah nasib keluarganya.
Anak kedua
daripada tiga adik-beradik itu yang mana kakak sulungnya merupakan orang kurang
upaya, Nur Hanani, 16, dari Rantau Panjang, Kelantan, disara ibu yang
bekerja sebagai penoreh getah setelah ibu bapanya bercerai
sejak beliau berumur tujuh tahun.
Beliau yang
merupakan antara penerima Peneraju Tunas Yayasan Peneraju
Pendidikan Bumiputera memperoleh 10A dalam Pentaksiran Tingkatan
3 (PT3) tahun lepas.
Nur Hanani yang
dibiayai Yayasan Peneraju sejak 2014 kini merupakan pelajar Tingkatan 4 di
Sekolah Menengah Sains Seri Puteri, bakal menduduki Sijil Pelajaran
Malaysia (SPM) pada tahun depan.
“Saya
berharap akan dapat 9A dalam SPM tahun depan. Cita-cita saya adalah
menjadi seorang pakar bedah. Ia adalah kerja mulia agar dapat terus membantu
orang lain,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran buku
#iniceritasaya di sini hari ini.
Nur
Hanani juga merupakan seorang daripada peserta Yayasan Peneraju
Pendidikan Bumiputera yang kisah kejayaannya diterbitkan dalam koleksi
#iniceritasaya.
Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum itu melancarkan edisi kedua
#iniceritasaya yang berkongsi pengalaman dan kejayaan peserta yang
menyertai Program Peneraju Tunas di Bangunan Perdana Putra di sini hari
ini.
Nur
Hanani berkata selain menerima biasiswa, program Peneraju Tunas turut
mewujudkan program pemupukan dan pembangunan diri setiap kali cuti sekolah
panjang yang akan memanfaatkan penerima.
Sementara itu,
Muhammad Fajrul Omar Muhamad Ridzuan, 23, turut berkongsi kisah kejayaannya
selepas mengikuti program Yayasan Peneraju.
Lepasan Diploma
Kejuruteraan Marin Elektrik dan Elektronik itu menganggur hampir lebih
setahun selepas diberhentikan dari sebuah syarikat minyak dan gas pada tahun
2015 dan hanya membantu kawan-kawannya ‘menjual trip’ menyelam.
Katanya setelah
melihat iklan Yayasan Peneraju mengenai program ‘Peneraju Skil PADI Open Water
Scuba Instructor’, beliau terus membuat permohonan untuk mengikuti kursus
selama tiga bulan.
Pemuda dari
Kuala Lumpur itu kini telah mengasaskan perniagaan sendiri dengan menubuhkan
BlackPearl DiveTeam dengan keuntungan mencecah RM5,000 sebulan.
Selain itu,
katanya, beliau mewujudkan inisiatif sendiri dengan menawarkan
program zero-to-hero khusus buat mereka yang berminat untuk menjadi
seorang pengajar atau penyelam skuba.
“Kini, seramai
tujuh orang pelajar dalam program zero-to-hero anjuran saya sendiri dalam sukan
selam skuba. Mereka belajar dari asas sehingga ke peringkat profesional
untuk menjadi seorang penyelam rekreasi,” katanya. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment