FOTO yang
dirakam oleh seorang jurugambar profesional sekitar tahun 1930-an di
Amerika Syarikat (AS) menggambarkan betapa kejam dan ganasnya isu
perkauman yang melanda negara berkenaan ketika era itu.
Thomas Shipp, 18 dan Abram Smith, 19 telah digantung dikhalayak
ramai pada 7 Ogos 1930 di Marion, Indiana selepas mereka disyaki suspek utama
kes bunuh dan rogol melibatkan dua warga berkulit putih.
Malam sebelum kejadian mengerikan itu, tiga sahabat iaitu Thomas,
Abram dan James Cameron, 16, ditahan oleh pihak berkuasa atas
tuduhan menyebabkan kematian seorang pekerja kilang, Claude Deeter dan
merogol teman wanitanya, Mary Ball.
Biarpun kes berkenaan masih belum disiasat sepenuhnya, ketiga-tiga
mereka terus dibawa ke penjara Indiana.
Namun, penduduk kampung tetap tidak berpuas hati dan
merasakan ketiga-tiga pesalah terbabit harus menerima hukuman pada malam itu
juga.
Pada waktu itu, sekiranya seorang wanita berkulit putih dirogol oleh lelaki berkulit hitam, ia adalah tindakan yang lebih ‘berdosa’ dari membunuh menurut mereka.
Ribuan penduduk
kampung mula membanjiri perkarangan penjara Indiana untuk mendesak syerif
melepaskan tiga tahanan remaja terbabit.
Biarpun
dihalang pihak berkuasa, rusuhan dari kalangan penduduk itu berjaya memecahkan
pintu pagar utama penjara untuk mengheret ketiga-tiga suspek keluar.
Mereka kemudian
dibelasah sehinga mengalami cedera parah sebelum dibawa ke sebatang pokok
tempat di mana mereka bakal ‘dihakimi’.
Ketika itu,
Abram cuba untuk meloloskan diri namun penduduk bertindak mematahkan kedua
lengannya agar suspek tidak melakukan sebarang pergelutan.
Abram dan
Thomas yang terkulai layu kemudian digantung pada dahan pokok, membuatkan
penduduk kampung menyorak kuat seolah-olah ‘kejahatan’ telah diadili dengan
sebenar.
Gambar
yang dirakam jurufoto Lawrence Beitler itu turut memaparkan tindakan
seorang individu menunding jari ke arah mayat, yang memberi maksud ancaman
kepada penduduk kulit hitam agar tidak melakukan sebarang provokasi atau
bakal menerima nasib sama.
Bagaimanapun,
James yang merupakan suspek ketiga terselamat setelah seorang wanita tidak
dikenali menjerit ke arah penduduk, menafikan bahawa remaja itu terlibat dalam
kes pembunuhan mahupun perbuatan merogol.
Penafian
daripada wanita berkenaan menyebabkan pemuda berusia 16 tahun itu tidak
digantung, sebaliknya ditahan bagi melakukan siasatan lanjut berkenaan kes
pembunuhan.
Selang beberapa
minggu, Marry dalam perbicaraan mahkamah memberi keterangan bahawa dia
tidak dirogol, membuatkan James hanya dikenakan empat tahun penjara akibat
disyaki bersekongkol dengan suspek.
Kenyataan Marry
itu memeranjatkan kerana masyarakat kampung yang mengamuk dan menyerang balai
sherif beranggapan wanita itu telah dirogol.
Siasatan
kemudian hari mendapati kemarahan orang ramai bukan berkisar kepada kejadian
pembunuhan tetapi kepada berita bahawa Marry telah dirogol.
Hakikatnya
kedua remaja berkulit hitam itu dibunuh atas kisah dan tanggapan yang tidak
benar.
James dalam
sebuah temu bual turut mengesahkan kedua rakannya itu, Shipp dan Smith ada
menembak Claude sehingga mati.
Bagaimanapun,
dia yang berada di tempat kejadian bertindak melarikan diri setelah menyedari
perbuatan rakanya itu terlalu melampau.
James turut
mengatakan, bahawa suara wanita yang datang dari penduduk pada malam kejadian
hitam itu merupakan suara malaikat yang telah menyelamatkanya nyawanya.
Selepas kejadian itu, James banyak menghabiskan masa dengan
kerja-kerja keagamaan dan keamanan.-MYNEWSHUB.CC
0 comments:
Post a Comment