Masjid Zahir atau
dikenali sebagai Masjid Zahrah merupakan masjid yang sangat popular di sekitar
Kedah. Masjid ini terletak di tengah-tengah bandar raya Alor Setar dan juga
dikenali sebagai Masjid Raja kerana merupakan masjid Diraja serta terletak di
perkarangan Istana Pelamin. Bangunan bersejarah ini sering menjadi tumpuan
pengunjung dari luar mahupun penduduk di negeri Kedah sendiri
Masjid Zahir dibina pada
tahun 1912 dengan usaha daripada YTM Tunku Mahmud Ibni Almarhum Sultan Tajuddin
Mukarram Shah. Reka bentuk Masjid Zahir diilhamkan daripada Masjid Azizi di
Bandar Langkat, Sumatera Utara iaitu dengan ciri kubah hitam serta terdapat
satu kubah hitam yang di sekelilingnya terdapat lima buah kubah lebih kecil
melambangkan lima rukun Islam. Menurut penduduk di sini dikatakan bangunan
bersejarah ini dibina atas tapak tanah pusara wira-wira Kedah yang gugur semasa
mempertahankan Kedah daripada serangan Siam pada tahun 1821.
Upacara perasmian Masjid
Zahir dilakukan pada hari Jumaat bersamaan 15 Oktober tahun 1915 dan dirasmikan
oleh Almarhum Sultan Abdul Hamid Shah. Pada perasmian itu, Tunku Mahmud membaca
Khutbah Jumaat sementara baginda Sultan Abdul Hamid Shah mengimamkan solat
Jumaat pada ketika itu. Masjid Zahir mempunyai keluasan tapak kira-kira 124,412
kaki persegi dan di belakang bangunan ini terdapat Kompleks Bangunan Mahkamah
Syariah dan Pusat Pendidikan Asas Kanak-Kanak.
Lokasi Masjid Zahir
dikatakan sangat strategik iaitu terletak bersebelahan Sungai Kedah. Hal ini
memudahkan pedagang-pedagang untuk singgah solat di dalam masjid tersebut.
Tapak masjid ini asalnya merupakan milik Sultan Mohammad Jiwa Zainol Abidin
Muadzam Shah II. Dikatakan pembinaan masjid ini adalah selari dengan pembinaan
Masjid Lama, Balai Nobat dan Balai Besar pada sekitar tahun 1736 juga oleh
Almarhum Sultan Muhammad Jiwa Zainol Abidin II. Dahulu, nobat akan dibunyikan
di Balai Nobat sebelum azan Jumaat berkumandang kerana menunjukkan bahawa
Almarhum Sultan akan berangkat pergi ke Masjid untuk sembahyang Jumaat.
Kini, permainan nobat
ini telah dihentikan. Selain daripada bunyi nobat, bunyi jam besar yang
berhampiran dengan masjid ini juga turut menjadi panduan masuk waktu solat
fardu bagi orang Islam yang berada di ibu negeri Kedah pada zaman dahulu.
Masjid Zahir merupakan antara mercu tanda seni bina negeri Kedah dan merupakan
masjid tercantik di Malaysia serta menjadi tumpuan para pelancong. Salah satu
tarikan utama di negeri Kedah adalah Masjid Zahir. Oleh itu, marilah sama-sama
kita menjaga dan memelihara keindahan dan kesenian Islam yang terdapat padanya.
0 comments:
Post a Comment