Wednesday, August 30, 2017

Filled Under:

AKIBAT KEDAIFAN ~ Buntu fikir masa depan keluarga


SUNGAI PETANI - Sepasang suami isteri buntu memikirkan masa depan keluarganya apabila mereka tidak lagi mampu melakukan sebarang pekerjaan, sejak tahun lalu akibat mengalami masalah kesihatan.
Roslan Ibrahim, 47, dan isterinya, Siti Noor Liana Mohd Rasmi, 36, kini hanya bergantung sepenuhnya kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 dan sumbangan barangan keperluan dari Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) bernilai RM200.
Siti Noor Liana berkata, sebelum dia disahkan menghidap ketumbuhan otak, dia bekerja sebagai pembantu kedai makan berdekatan rumahnya dua tahun lalu.
“Walaupun pendapatan saya tidak tetap sebab ikut gaji harian, sekurang-kurangnya wang itu dapat digunakan untuk uruskan keluarga. Begitu juga suami saya, sebelum ini, dia kerja sebagai buruh kasar dengan pendapatan kasar dalam RM1,000, sebulan.  
“Sejak tahun lalu, dia pula tak mampu bekerja selepas lumpuh (tulang kaki kanan reput) akibat terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Kampung Siam, dekat Bedong.
Katanya, sebelum menyewa di Kampung Siam, mereka sekeluarga menumpang di rumah arwah bapanya dekat Jeniang, Gurun dan kemudian berpindah ke sini, sejak awal 2015.
Ibu kepada tiga anak itu berkata, disebabkan keadaan dirinya dan ditambah kesihatan suami yang tidak mengizinkan mencari rezeki, keluarga mereka kini berdepan kesempitan kewangan.
“Dulu saya ada juga kerja sikit-sikit, dapatlah nak tolong keluarga. Tapi sekarang, bila saya sakit, suami dah sakit dan tak boleh nak kerja, terasa benar susahnya,” katanya.
Menurutnya, pada 25 Julai lalu, dia baru sahaja menjalani pembedahan di kepala bagi membuang ketumbuhan di otak di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
"Pada 14 September ini pula saya akan menjalani pembedahan buat kali kedua di HSB," katanya.
Siti Noor Liana berkata, hampir setiap hari anak-anaknya hanya dapat makan nasi berlauk telur dengan kicap. 
“Ada kalanya, belas ihsan jiran yang prihatin hantar lauk ke rumah kami. Melihat kesusahan hidup anak-anak kami, tahun ini, saya terpaksa hantar anak lelaki sulung ke rumah anak yatim Kg Che Bema dekat Sungai Layar.
“Dua adik perempuannya iaitu seorang murid darjah enam dan seorang lagi masih tadika lagi, kini bersama kami,” katanya sebak.
Menurutnya, dia dan suami memohon jasa baik kerajaan negeri mempertimbangkan sebuah kediaman sendiri menerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda).






0 comments:

Post a Comment