Salam semua, ada cerita untuk aku
kongsikan pada semua.
Tidak mendapat restu keluarga kekasih memang
menjadi satu masalah dalam sebuah percintaan. Ia boleh mengganggu kelancaran
hubungan. Begitu jugalah hubungan aku dan Dia. Akibat cinta yang tidak
direstui, ia telah membawa impak atau kesan buruk terhadap dunia percintaan
kami. Mungkin juga kerana perbezaan taraf kehidupan dan taraf pendidikan telah
menjadikan hubungan aku dengan dia tidak kesampaian. Tapi aku reda. Mungkin
sudah tersurat yang aku dan dia tidak ditakdirkan untuk hidup bersama.
Mulanya hubungan aku dan dia sekadar adik dan kakak
angkat. Mudah kalau aku hanya gelarkan dia 'R'. 'R' lebih tua daripadaku. Beza
usia kami empat tahun. Dia bijak mengambil hatiku dan sebab itulah aku terlalu
menyayanginya. 'R' juga seorang yang penyabar. Perlakuan dan tutur bicaranya
lembut sahaja, membuatkan mana-mana lelaki akan mudah jatuh cinta padanya.
Sungguhpun aku melanjutkan pengajianku di
universiti dan 'R' pula memegang jawatan tinggi yang sudah tentunya bergaji besar,
kami tetap kerap menghabiskan masa bersama. Soal status tidak menjadi halangan
untuk kami berhubungan. Ramai juga rakan-rakan sekolej yang memandang serong
terhadapku kerana berkawan dengan wanita yang lebih berusia, tapi aku tidak
kisah. Biarlah apa orang nak kata, asalkan aku dan 'R' bahagia.
Hubungan kami yang sudah lebih daripada seorang
kakak dan adik telah berjaya dihidu oleh keluarga 'R'. Mereka amat menentang
perhubungan kami kerana merasakan aku tidak layak untuk mendampingi 'R'
sementelah 'R' seorang wanita yang berjawatan tinggi dan bergaji lumayan. Kata
mereka, 'R' lebih layak untuk mendampingi lelaki yang setanding atau lebih
berjaya dari dirinya, bukannya dengan diriku yang belajar pun belum habis lagi.
Aku berasa sangat sedih kerana dihina tanpa belas
kasihan. Belum pernah aku dimalukan sebegitu rupa. Berminggu-minggu aku merajuk
dengan 'R'. Segala panggilan telefon, Whatsapp dan e-mel tidak ku layan. Aku
rasa sangat marah dengan tindakan yang dilakukan oleh keluarga 'R' sedangkan
aku tahu yang 'R' tidak bersalah dalam hal ini. Berdosanya aku menghukum 'R'
sebegitu, tetapi amarahku mengatasi segalanya.
Sekeras-keras hati seorang lelaki apabila dipujuk
oleh si pengarang jantung, akhirnya akan lembut juga. Sungguh, tidak sanggup
rasanya aku melihat air mata 'R' berterusan mengalir. Hubungan kami akhirnya
diteruskan seperti sediakala sehinggalah pada suatu hari ketika aku dan 'R'
bertemu di sebuah restoran, kami telah terserempak dengan ibu dan bapa 'R'. Aku
telah ditampar oleh bapa 'R' kerana keluar dengan 'R' sedangkan 'R' telah
berjanji untuk tidak bertemu denganku lagi.
Rupa-rupanya, 'R' telah ditunangkan dengan anak
kenalan bapanya. Meskipun 'R' enggan bertunang dengan lelaki tersebut, 'R'
tiada pilihan lain.
Sejak peristiwa itu, aku mula menjauhkan diri dari
'R'. Aku nekad untuk memutuskan perhubungan ini kerana tidak nampak ‘jalan’
untuk kami berdua bersatu. Nampaknya, cinta semata-mata tidak memadai atau
mencukupi untuk menghadapi sebuah perhubungan yang penuh dengan onak dan duri.
Aku berpendapat bahawa tiada gunanya aku meneruskan perhubungan ini jika sering
disumpah seranah oleh pihak keluarga 'R' yang memandang rendah pada diriku.
Biarpun di dadaku hanya ada kamu, tetapi cinta
bukanlah segala-galanya. Kita tidak boleh korbankan semuanya hanya kerana
cinta. Aku mula belajar menerima kenyataan bahawa cinta yang sudah
dipertahankan dengan sepenuh hati tetapi tetap tidak mendapat restu perlu
dilepaskan pergi. Aku percaya masih ada cinta lain yang boleh aku sandarkan
kasih sayang.
Buat 'R', jika kamu membaca coretanku ini, ikhlas
yang aku sudah memaafkanmu. Bukan salah sesiapa. Hanya kita tiada jodoh untuk
hidup bersama. Anggap sahajalah aku sebagai adikmu. Saat-saat indah ketika
bersamamu tidak pernah ku lupa sehingga ke hari ini walaupun memori cinta luka
itu sudah hampir tiga tahun berlalu. Ku doakan moga kau bahagia bersama si dia.


0 comments:
Post a Comment