SINGAPURA – Secara purata lima
ekor kucing dijumpai mati di Singapura setiap bulan setelah terjatuh dari
kediaman tinggi dan kebanyakannya merupakan haiwan peliharaan jinak.
Perkara itu
didedahkan Persatuan Kebajikan Kucing (CWS) dan ia menekankan pentingnya bagi
para pemilik rumah pangsa supaya memasang jaring pada tingkap flat mereka demi
mencegah kematian tragik seumpama itu.
Bercakap kepada
agensi berita tempatan Mediacorp, seorang petugas
CWS, Veron Lau berkata, anggaran secara umum itu berdasarkan maklumat yang
diterima pihaknya selain catatan yang dimuat naik menerusi media sosial.
Sekitar 95
peratus daripada kucing yang mati secara demikia adalah peliharaan berbanding
kucing jalanan yang dijaga oleh orang yang tertentu dan selesa berlegar bebas
sekitar kawasan estet perumahan di republik tersebut.
Menurut
pengurus kanan CWS yang bertanggungjawab dalam usaha mendampingi masyarakat
awam, Laura Ann Meranda, lazimnya apabila seekor kucing terjatuh dari tempat
yang agak tinggi, ia akan terdapat kesan darah.
Tompokan cecair
yang berwarna merah itu dapat dilihat dengan jelas pada bahagian mulut, selain
luka di bahagian belakang dan kawasan dada pada haiwan mamalia comel tersebut
akan menjadi cukup padat, tambah beliau lagi
“Kami biasanya tidak mengklasifikasikan kes sedemikian sebagai
penderaan kecuali jika ada saksi kerana ia adalah spekulasi, namun kesan trauma
pada bahagian tulang rahang dan dada juga boleh dikenal pasti sebagai terjatuh.
“Bagaimanapun punca kucing terjatuh dari bangunan tinggi boleh
dibahagikan sama ada dicampak dengan sengaja oleh seseorang atau sebaliknya
seperti tergelincir ketika cuba melompat tempat jauh,” kata Lau kepada MediaCorp.
Pada minggu
lalu, seorang penduduk di estet perumahan awam Marsiling, pinggir Woodland di
utara Singapura mendakwa kucing miliknya itu mati akibat “perbuatan ganas tidak
masuk akal” oleh pelaku yang tidak dikenali.
Penguasa
Agromakanan dan Veterinar (AVA) republik itu menyatakan bahawa pihaknya sedang
menyiasat kes pelik tersebut kerana secara amnya, agak sukar untuk
menentukan sama ada seekor kucing terjatuh dengan sendiri.
Dalam pada itu
Meranda pula berkata, kucing mungkin dicampak dari tempat yang tinggi, tetapi
untuk mengenal pasti sama ada ia akibat perbuatan sengaja, CWS akan meneliti
lokasi di mana bangkai kucing tersebut dijumpai.
Ini bagi
menentukan sama ada ia berdekatan sebuah blok perumahan yang terdapat belebas
atau tingkap atau sama ada kucing itu memang sudah mengalami luka lama lain
seperti tikaman atau kesan tali pada anggota tubuhnya.
Biasanya,
CWS mendapat tahu tentang kes-kes sedemikian menerusi orang awam yang
memaklumkan kepada pihak majlis bandaran apabila mereka menjumpai bangkai
kucing yang sudah mati di kawasan estet perumahan mereka.
Majlis bandaran
kemudian menghubungi CWS untuk memindahkan bangkai itu dan pihaknya terlebih
dahulu akan merakamkan gambar sebelum memuat naik poster di sekitar kawasan
estet perumahan dan juga media sosial.
Tujuannya ujar
Meranda, adalah untuk membolehkan CWS dapat mencari siapakah pemilik asalnya –
atau individu yang pernah bermurah hati ihsan memberi kucing tersebut makan,
jika ia hanya merupakan haiwan jalanan.
Selepas itu,
penjaga kucing akan memutuskan sama ada bangkai kucing itu perlu menjalani
pembedahan lebih lanjut bagi menentukan punca sebenar kematian atau memberi
kebenaran untuk dibakar secara formal.
Menurut CWS,
pihaknya menekankan usaha kesedaran kepada pemilik kucing supaya menjaga haiwan
peliharaan mereka di dalam rumah serta memasang jaring pada tingkap dan pintu
rumah.




0 comments:
Post a Comment