PARIS – Sebuah resort kecil
di tepi pantai Perancis menjadi gempar apabila lebih 200 ekor kucing, baik
kucing peliharaan mahupun kucing terbiar, mati diracun secara misteri dalam
masa sebulan.
Ratusan kucing tidak berdosa itu dipercayai menjadi mangsa
perbuatan pembunuh kucing bersiri dan mamalia comel tersebut didapati mati di
sekitar Saint Pierre la Mer, yang terletak 90 kilometer ke selatan Montpellier.
Persatuan bagi Perlindungan Haiwan Perancis turut menerima begitu
banyak panggilan telefon daripada penduduk yang menemui bangkai kucing mati
dibunuh, menurut laporan akhbar berpengaruh tempatan, La
Depeche.
Ini bermakna secara purata lebih enam kucing maut dan pihak
berkuasa tempatan turut bingung kerana semua insiden tersebut tidak melibatkan
aktiviti militan pengganas antarabangsa yang sering ‘menghantui’ Perancis.
Tikus
dan burung juga dilaporkan menjadi mangsa setelah termakan racun yang sama, di
tengah-tengah perasaan kebimbangan tentang kemungkinan kanak-kanak kecil akan
mengutip dan memasukkannya ke dalam mulut.
Persatuan Kucing Terbiar Perancis dalam pada itu turut membuat
aduan kepada pihak polis dengan harapan proses bedah siasat akan dijalankan
untuk mengenal pasti punca kematian sama ada akibat wabak atau kes jenayah.
“Suasana di sini semakin
tegang, tiada orang yang percaya kepada orang lain lagi,”kata seorang penduduk yang
hanya mahu dirinya dikenali sebagai Genevieve ketika dipetik oleh akhbar harian
Perancis, Ouest-France.
“Kami semua berasa khuatir
kanak-kanak kemungkinan besar boleh termakan racun misteri itu yang ditaburkan
si pembunuh kerana tersilap menyangka ia sebagai gula-gula,” jelasnya.

0 comments:
Post a Comment