SUDAHLAH tidak mempunyai tempat
untuk berlindung, dilayan pula kejam oleh manusia yang tidak bertanggungjawab.
Itu yang dialami kucing dan anjing jalanan di Penampang, Sabah
apabila ada pihak mendakwa haiwan tersebut ‘direjam’ dengan dart dan buluh
hingga menyebabkan kecederaan dan kematian.
Sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan, kejadian tersebut
berlaku sejak Ogos tahun lalu dan dilakukan pada awal pagi.
Ada juga berpendapat tindakan mencederakan haiwan ini sebagai satu
cara untuk penjenayah pecah masuk rumah kediaman.
Susulan kejadian tersebut, sekumpulan pencinta haiwan yang
dikenali sebagai Strays Indie Fund ditubuhkan bagi membuat rondaan di sekitar
kawasan Penampang bagi mengelakkan kejadian sama berulang lagi.
Sejak itu, tiada lagi serangan yang berlaku sejak bulan lalu namun
sukarelawan ini terus memantau keadaan haiwan yang berkeliaran di jalanan.
Jurucakap Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan Kota Kinabalu
(SPCAkk), Dr. Randolf Paza Tsen Sham Sun berkata, pasukannya akan membuat
rondaan sekurang-kurangnya empat hari seminggu di beberapa lokasi.
Seorang doktor haiwan berkata, sembilan laporan diserahkan kepada
pihak polis untuk tindakan namun sekurang-kurangnya 30 kucing dan anjing cedera
akibat terkena dart dan buluh.
Menurutnya, seorang pemilik haiwan peliharaan di Taman Peluduk
melaporkan melihat seorang lelaki sedang mencederakan anjing miliknya kira-kira
jam 2 pagi.
Bagaimanapun, lelaki tersebut melarikan diri dengan menaiki sebuah
kereta jenis Perodua Kancil.
“Kami berjaya menahan lelaki
tersebut namun dia enggan mengakui kesalahannya,” katanya lelaki itu
diserahkan kepada polis namun dibebaskan kerana tidak mempunyai bukti yang
mencukupi.
Bagi memastikan keganasan terhadap haiwan ini terus dibanteras,
SPCAkk menawarkan RM10,000 kepada mereka yang mempunyai maklumat mengenai
penyerang haiwan jalanan ini.
Mereka yang didapati bersalah mencederakan haiwan boleh dikenakan
hukuman di bawah Enakmen Kebajikan Haiwan 2015 akan didenda sehingga RM100,000,
dan atau dipenjarakan sehingga tiga tahun.
Bagaimanapun, sejak laporan polis dibuat dan rondaan daripada
beberapa badan bukan kerajaan, kejadian kekejaman terhadap haiwan di kawasan
tersebut tidak lagi berlaku.


0 comments:
Post a Comment