Saya perempuan,
sekarang telah grad hampir dua tahun lalu. Kejadian yang paling saya tidak
dapat lupakan sepanjang belajar di universiti ialah, terjebak dengan MLM.
Sehingga saat saya menaip ini, saya masih ingat satu-satunya wajah individu
yang menyebabkan saya trauma dan menanggung hutang. Walaupun tak banyak tetapi,
sebagai pelajar pada ketika itu, nilai wang yang dihutang adalah terlalu
tinggi.
BERMULANYA KISAH..
Semasa saya sedang
melayari Facebook, ada seseorang telah meminta untuk menjadi rakan saya. Lelaki
itu bernama F.
"Oh, aku kenal
dia ni. Rakan satu sekolah dulu," kata saya dalam hati dan tanpa rasa
was-was terus menerima permintaannya itu.
Maka bermulalah
sesi berbual di Facebook dan lama kelamaan dia mengajak saya keluar makan. Saya
bersetuju memandangkan tempat makan yang dipilih itu berdekatan dengan rumah
dan hanya perlu berjalan kaki ke kedai tersebut.
Semasa berjumpa,
dia nampak biasa dan peramah. Tidak seperti yang saya kenal dulu yang mana dia
seorang pendiam.
AJAK KE KEDAI KAWAN
DIA
Dipendekkan cerita,
suatu hari dia mengajak saya pergi ke kedai kawannya. Saya yang percaya terus
setuju mengikutnya. Katanya ada slot yang orang tempat tetapi tidak jadi.
Enggan menanggung rugi, lalu dia meminta saya menggantikan orang itu secara
percuma. Bila ditanya kedai apa, dia hanya memberitahu kedai rawatan kesihatan
dan selanjutnya saya akan tahu selepas tiba di sana nanti. Saya pun turutkan
saja.
Kedai itu
sebenarnya milik ketua MLM mereka.
AJAK BUAT BISNES
BERSAMA-SAMA
Selepas saja
rawatan itu, dia ajak lepak dengan kawan-kawan yang mana masing-masing membawa
'orang'. Mereka ini semuanya peramah, senyum manis dan pandai berlakon. F
memberitahu yang dia juga ingin membuka kedai seperti ini dan dia mengajak saya
menjadi rakan kongsinya.
Tambahnya, ini
bukanlah MLM kerana kita boleh membuka kedai sendiri seperti cawangan.
Kebetulan pula saya suka juga tentang bisnes. Bila dia sentuh tentang ibu bapa,
nak bagi duit bagai, saya menjadi lebih bersemangat. Dan mungkin inilah sesi
brainwash.
MASUK PERANGKAP
F beritahu lagi,
kalau saya setuju, saya perlu diinterview terlebih dahulu dengan orang penting
syarikat ini. Katanya, orang ini sangat sibuk dan hanya boleh membuat interview
sekali sahaja. Kalau gagal, tiada akan interview kali kedua dan seterusnya.
Akhirnya saya bersetuju.
Pandai kan F psiko?
Entahlah kenapa pada masa ini saya setuju.
INTERVIEW
Semasa interview,
saya dan F masuk sekali dalam bilik. Panel interview masuk ke dalam bilik lima
minit kemudian. Rupa-rupanya panel itu adalah kawannya sendiri yang juga selalu
lepak selepas rawatan. Tetapi karekter dia kali ini sudah lain. Dengan pakaian
blazer, muka garang, tanpa senyuman dia mengajukan pelbagai soalan kepada
saya.
Pada soalan
terakhir, dia bertanya apakah saya benar-benar berminat nak melakukan bisnes
ini? Saya hanya mengangguk dan kemudian saya diminta menyediakan RM3,300 dalam
masa seminggu.
"Kalau awak
lari, saya akan cari awak di rumah sewa dan terajang awak!" kata lelaki
itu.
Ayat dia inilah
yang paling saya ingat kerana dia tidak suka orang cakap kosong. Saya hanya
angguk.
PINJAM DUIT KAWAN
Dalam masa seminggu
itu, saya menghubungi kawan-kawan untuk meminjam duit. Selama ini saya tidak
pernah meminjam duit sesiapa pun. Kumpul sikit seorang dapatlah kumpul RM1,300.
Baki RM2,000, saya pinjam duit mak. Mak bagi semua duit simpanannya sebanyak
RM2,000. Sedih bila terkenang kembali.
KENA LAGI
Selepas menyerahkan
RM3,300, dia paksa saya bawa kawan-kawan untuk meramaikan ahli. Saya turut
perintah dan adalah dua tiga orang menjadi mangsa yang mana kesemua mereka
menjauhkan diri dari saya selepas itu.
Hampir berminggu,
saya masih belum ada 'prospek' dan saya sudah mula bosan. Saya beritahu mereka
yang saya mahu bisnes, bukan nak memrekrut orang. Namun dia pula berkata duit
yang saya bayar itu adalah duit bayaran pendaftaran ahli. Kalau benar-benar
mahu buat bisnes, kena beli alat dia yang berharga RM27,000.
KISAH RM27,000
Rupa-rupanya F
telah melabur RM27,000 dan tiba masa saya pula, dia memaksa saya untuk meminjam
duit dengan hali keluarga. Masa ini saya menghadapi final exam semester
keempat. Saya tak fokus kerana dalam kepala saya asyik nak bisnes sahaja. Hati
naluri ibu, dia tahu, dia call saya dan suruh balik kampung sebab cuti semester
saya tak balik. Untuk pertama kalinya saya ingkar cakap mak.
PART SEDIH
F mengeluarkan
kata-kata yang tidak enak bila saya gagal menyediakan duit tersebut. Saya mula sedar
yang saya telah dipergunakan untuk dia naik ke leader.
Mak cerita, dia tak
putus mendoakan saya semasa saya enggan balik ke kampung. Mungkin doa dari
seorang ibu itu membuatkan saya tersedar. Ibarat seperti dalam mimpi. Bila
tersedar, saya terus tukar nombor telefon, block Facebook F dan terus balik ke
kampung. Saya malu dengan keluarga dan saya balik terus menangis memohon maaf
pada mak.
BANGKIT KEMBALI
Mak tidak tahu saya
banyak berhutang. Selepas naik semester lima, dapat saja duit pinjaman, saya
selesaikan semua hutang dan hanya tinggal baki RM200. Kalau nak tahu, semester
empat, pointer saya jatuh teruk. Semester lima saya mula bekerja separuh masa
di luar pengetahuan keluarga. Penatnya hanya Allah saja yang tahu.
Belajar dan
bekerja, Alhamdulillah walaupun kerja part time, tetapi saya dapat dekan sem.
Mak saya senyum saja. Sampai ke hari ini, saya benci mendengar perkataan
MLM.
Kepada kaki-kaki
MLM, cukuplah memperdayakan pelajar untuk kepentingan sendiri. Saya benci
MLM!
0 comments:
Post a Comment