TEL AVIV – Cadangan seorang menteri kabinet rejim Israel supaya
kerajaan Zionis itu segera memindahkan kucing dan anjing yang terbiar di negara
Yahudi itu ke sebuah negara lain mencetuskan kemarahan pelbagai pihak.
Saranan
kontroversi itu dikemukakan sebagai satu alternatif kepada usaha yang dibiayai
pemerintah Israel untuk mengimbiri atau mengasi haiwan-haiwan itu yang didapati
makin banyak berkeliaran mengganggu masyarakat.
“Gunakanlah bajet tahunan kerajaan kita itu untuk program
pemindahan anjing dan/atau kucing terbiar ke sebuah negara asing, yang telah
bersetuju untuk menerimanya,” tegas angkuh Menteri Pertanian Israel, Uri Ariel.
Perkara
tersebut dinyatakan beliau dalam sepucuk surat yang dihantar kepada rakan
sekerja Kabinetnya, dan kemudian didedahkan menerusi sebuah akhbar berbahasa
tempatan, Yedioth Ahronoth baru-baru ini.
Cadangan
berkenaan, yang menurut jurucakap Ariel bagaimanapun ditolak selepas rundingan
awal Kementerian Pertanian Israel, dikecam oleh para aktivis kebajikan haiwan
serta anggota politik pembangkang negara tersebut.
“Saya tidak akan mohon pasport asing untuk Pitzkeleh,” kata ahli politik
pembangkang dan mantan Menteri Ehwal Luar, Tzipi Livni menerusi laman
Twitternya, sambil memuat naik gambarnya dengan kucing peliharaannya itu.
Menurut laporan
akhbar itu lagi, Ariel yang turut dikenali sebagai kuat beragama dan merupakan
anggota parti berhaluan kanan Jewish Home, berpendapat langkah mengimbirikan
haiwan melanggar arahan tuhan mereka.
Malahan
undang-undang Yahudi sendiri turut menentang kekejaman haiwan waima dengan apa
cara sekali pun berdasarkan Akta Kebajikan Haiwan yang diluluskan oleh Kneseet atau
sidang Parlimen Israel pada 1994 lalu.
Namun ketua
pembangkang berhaluan kiri dari parti Meretz, Zahava Galon, menulis menerusi
Facebook bahawa cadangan Ariel itu sebenarnya bercanggah dengan akhlak penganut
Yahudi yang mengharamkan seksa haiwan.
Beliau secara
berseloroh dalam laman sosial itu berkata bahawa sebaliknya: “Sudah
tiba masanya menteri tersebut sendiri yang sepatutnya dipindahkan ke sebuah
negara lain.”



0 comments:
Post a Comment