ALOR SETAR – Cuaca panas melampau yang berlaku ekoran fenomena El
Nino kebelakangan ini mendatangkan kebimbangan terjadinya strok haba bukan
sahaja terhadap manusia malah haiwan peliharaan.
Berikutan cuaca panas itu, suhu paling tinggi telah dicatatkan pada
20 Mac lalu di Kedah mencecah 39 darjah Celcius, menimbulkan kebimbangan orang
ramai tentang strok haba.
Strok haba bukan sahaja berlaku kepada manusia, juga terhadap
haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing yang terdedah di bawah cuaca panas.
Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kedah Dr Kamaliah Ghazali
berkata sehingga kini, tiada sebarang laporan berkaitan kes strok haba terhadap
haiwan namun pihaknya sentiasa berada dalam keadaan bersedia.
“Haiwan yang mengalami strok haba akan menunjukkan simptom seperti
masalah pernafasan, pergerakan yang perlahan, masalah untuk bergerak dan bagi
haiwan seperti anjing pula ia akan kerap menjelirkan lidah berikutan suhu badan
meningkat,” katanya kepada Bernama hari ini.
Sekiranya haiwan itu tidak diletakkan di tempat teduh dan
dikurangkan haba badan dengan segera, ia boleh menyebabkan haiwan itu rebah.
“Haiwan yang menunjukkan simptom strok haba perlu diletakkan di
kawasan teduh dan cuba dikurangkan suhu badan dengan menggunakan ais atau air.
Kipas dan pendingin hawa juga boleh digunakan,” kata Dr Kamaliah.
Sementara itu, Ima Ilyani Ibrahim, 33, pemilik kucing baka Parsi
berkata kucingnya yang mesra dengan panggilan ‘Kitty’ dibiarkan di dalam rumah
dan tidak dibawa keluar sepanjang keadaan cuaca panas ini kerana bimbang dengan
kesihatan kucingnya.
“Dua bulan lalu, Kitty menjalani pembedahan membuang batu karang
jadi dia masih dalam proses penyembuhan, jadi saya bimbang strok haba boleh
menyebabkan kesihatannya bertambah buruk. Tambahan pula, bulunya yang tebal dan
panjang akan menyebabkan suhu badannya naik dengan cepat.
“Di rumah, saya akan sediakan air minuman dengan secukupnya
sebelum saya ke tempat kerja. Saya juga memberi makanan tambahan yang disyorkan
doktor untuk membantu menguatkan sistem antibodinya,” katanya.
Nur Shahirah Azhar, 22, yang memelihara tupai terbang (sugar
glider) sejak tiga bulan lepas, berkata haiwan peliharaannya itu aktif pada
waktu siang dan gemar memanjat pokok, namun bagi memastikan haiwan
kesayangannya itu tidak sakit, dia menyediakan pokok tiruan kecil di biliknya.
– BERNAMA


0 comments:
Post a Comment