ALOR SETAR – Peluh yang
merenik di dahi dibiarkan begitu sahaja tatkala tangannya terus mengetuk
besi yang baru dikeluarkan dari dapur tempa.
Hayunan dan
ketukan bertalu-talu menggunakan tukul besi itu jelas menampakkan bahawa Jefri
Ghazali menggunakan seluruh kudrat dalam melakukan kerjanya itu.
Setelah puas
dengan hasilnya, beliau berhenti lalu membelek-belek besi yang ditempanya
lantas tersenyum lebar, tanda puas melihatkan besi itu membentuk mata golok
seperti yang diharapkan.
Beliau mencapai
hulu yang sudah tersedia lalu dipasang pada mata golok itu sebelum mencapai
sarung yang terletak di meja berhampiran lalu menyarungkan golok tadi. Hulu dan
sarung berkenaan telah disiapkannya terlebih dahulu.
Sambil
membelek-belek golok itu lagi, beliau menyarung dan mencabut daripada sarungnya
beberapa kali. Nyata, hulunya kukuh, sarungnya juga muat elok.
“Ini golok Kedah. Tak susah dibuat tapi tak ramai yang
membuatnya,” katanya kepada Bernama sambil
menujukkan golok yang lengkap bersarung itu.
TULANG EMPAT KERAT
Beliau
memberitahu bahawa golok Kedah yang juga dikenali sebagai golok gembala adalah
sebahagian daripada pengaruh kerajaan Siam yang menjalinkan persahabatan dengan
kerajaan Kedah ratusan tahun dahulu.
Golok yang
hulunya diperbuat daripada tanduk kerbau itu banyak kegunaannya selain
mempunyai ciri-ciri keistimewaan tersendiri.
“Daya tahannya tidak perlu dipertikaikan. Ia amat kuat
walaupun saiznya hanya sederhana malah amat mudah
dikendalikan terutamanya bagi kerja-kerja memotong dahan pokok,” katanya.
Hanya
berbekalkan minat yang mendalam, lelaki berusia 43 tahun itu belajar membuat
golok melalui pemerhatian daripada orang tua yang mahir besi.
Justeru, usah
ditanya mengenai perincian dalam pembuatan golok itu, sama ada proses-proses
menempa, mengikis, menyepuh mahupun suhu bagi proses tertentu.
Jefri melakukan
segalanya berdasarkan kemahiran mengguna pancaindera dan tulang empat
keratnya, tanpa sebarang buku panduan mahupun rujukan. Melalui pemerhatian,
pendengaran dan kreativiti, beliau memastikan setiap langkah pembuatan golok
dibuat dengan cermat dan teliti.
GUNA CARA TRADISIONAL
Bercerita
lanjut, Jefri memberitahu bahawa beliau mencari dan mengumpulkan pelbagai jenis
besi yang antaranya termasuk gegelung terpakai daripada kereta dan lori.
Besi-besi yang
terkumpul kemudiannya dilebur dalam bekas khas yang dipanggil periuk pada suhu
yang sangat tinggi sebelum ditempa menjadikan bentuk mata golok.
“Menempa memerlukan kekuatan tangan untuk mengetuk. Bagi
memastikan besi itu ditempa dengan kuat, ia hendaklah sentiasa panas ketika
diketuk. Kemudian ia akan disejukkan sebelum diasah supaya mata golok itu
tajam,” jelas Jefri.
Proses membuat
sebilah golok mengambil masa empat atau lima hari memandangkan beliau banyak
menggunakan cara tradisional dengan hanya sedikit penggunaan mesin.
Untuk makluman,
suhu bagi kerja besi adalah berbeza bagi sesuatu proses. Suhu meleburkan besi
boleh mencapai 1,500 darjah selsius atau lebih manakala suhu proses penempaan
pula adalah antara 800-1,100 darjah selsius, iaitu apabila besi itu berwarna
merah kekuning-kuningan. Besi tidak boleh ditempa jika tidak cukup panas iaitu
ketika masih bernyala biru kerana ianya akan rapuh manakala jika melebihi suhu
sewajarnya, ia akan terbakar dan tidak dapat diperbaiki lagi.
Bermula secara
kecil-kecilan pada 2011, beliau mengambil masa kira-kira dua tahun sebelum
dapat bertapak dan ternyata usahanya tidak sia-sia apabila golok buatannya
mendapat sambutan sejak empat tahun lepas.
Jefri
menjelaskan bahawa golok yang berukuran 33.02 sentimeter (13 inci) itu dulunya
kerap digunakan oleh pengendali gajah kerana pada hujungnya terdapat lebihan
seperti tanduk kecil yang tajam, berfungsi untuk menggaru belakang telinga
gajah.
“Inilah yang membezakan antara golok gembala jantan dan betina di
mana golok gembala jantan sering digunakan untuk mengawal gajah.
“Golok gembala betina lebih banyak digunakan dalam aktiviti
harian. Jadi, yang betina dan jantan itu merujuk kepada bentuknya dan bukannya
orang yang menggunakannya,” jelasnya.
UKIRAN SERLAH KREATIVITI
Jefri yang
mempunyai sebuah bengkel pembuatan senjata tradisional di Karangan, Kulim itu
berkata, hulu dan sarung golok juga mempunyai keunikan yang tersendiri.
Hulu golok itu
yang dipanggil pisang kelat dan diperbuat daripada tanduk kerbau turut menjadi
daya tarikan kerana saiznya yang kecil tetapi padu dan mudah
dikendalikan. Bagaimanapun, terdapat juga hulu diperbuat daripada
beberapa jenis kayu yang keras.
Nilai sebenar
golok itu juga dapat dilihat melalui kehalusan seni ukiran pada sarungnya.
Umumnya, ia tidak mempunyai motif ukiran yang khusus. Semuanya bergantung
kepada kreativiti pengukir itu.
Beliau membuat
sarung golok daripada beberapa jenis kayu yang lembut tetapi kuat dan
mengukirnya 100 peratus secara tradisional.
“Tak boleh guna mesin sebab hasilnya tak akan sehalus buatan
tangan.
“Golok ini mempunyai ukiran berbentuk siput yang timbul, di mana
ia bertindak sebagai penyendal agar apabila diselit pada kain tidak melorot
jatuh,” jelasnya yang mewarisi kemahiran mengukir daripada datuknya
seorang tukang rumah. Antara kayu yang selalu digunakan adalah kayu kemuning
atau halban.
HILANG IDENTITI TRADISIONAL
Apabila
diamat-amati golok buatan beliau, nyata, hasil tangannya kemas dan paling
mengagumkan adalah seni ukiran yang halus pada sarung golok berkenaan.
Harga sebilah
golok adalah di antara RM350 hingga RM750, bergantung kepada saiz, campuran
besi yang digunakan serta keunikan ukiran pada sarung.
Jefri berkata
peralihan waktu menyaksikan kebanyakan golok kini dibuat menggunakan peralatan
moden namun beliau tidak gusar kerana permintaan terhadap golok tradisional
masih tinggi.
Pengusaha
senjata tradisional itu bagaimanapun menyuarakan kekecewaannya kerana terdapat
lambakan golok, kerambit dan keris yang dibuat secara komersial di pasaran,
yang beliau rasakan sedikit sebanyak menghilangkan identiti peralatan
warisan itu.
“Golok yang banyak di pasaran memang murah namun jika
dibandingkan, golok yang dibuat secara tradisional lebih berkualiti
malah ukiran pada sarungnya juga lebih halus dan berseni.
“Agak mengecewakan kerana orang sekarang membeli peralatan
tradisional ini bukan kerana kualiti barangan tetapi lebih kepada harga yang
murah. Lama kelamaan, warisan seni membuatnya akan lenyap begitu saja,” katanya. – BERNAMA


0 comments:
Post a Comment