Peniaga kosmetik
dijatuhkan hukuman penjara selama empat tahun dan denda sebanyak RM15,000 oleh
Mahkamah Sesyen hari ini selepas didapati bersalah atas pertuduhan mencederakan
anak tirinya yang berusia lima tahun sehingga patah tulang belakang, tulang
rusuk serta paha pada dua tahun lalu.
Hakim Dazuki Ali
menjatuhkan hukuman itu terhadap Rahayu Hassan, 26, selepas pihak pembelaan
gagal menimbulkan keraguan muhasabah diakhir kes pembelaan.
Mengikut pertuduhan
pertama, Rahayu didakwa telah menyebabkan kecederaan parah kepada Nur Zuliana
Zaa’ra Zulkifli atau dikenali sebagai Yaya yang ketika kejadian berusia 5 tahun
di sebuah rumah di Kampung Bagus Rantau Panjang di sini antara Januari hingga
Mei 2015 dan dihukum mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
Bagi pertuduhan kedua,
tertuduh didakwa telah menganiaya hingga menyebabkan mangsa mengalami
kecederaan fizikal dan emosi pada tempat dan masa yang sama dan didakwa
mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak Kanak 2001.
Bagi pertuduhan pertama, wanita terbabit dijatuhi hukuman denda
sebanyak RM15,000, sekiranya gagal bayar akan dikenakan hukuman penjara selama
lima bulan.
Manakala bagi pertuduhan
kedua, dia dikenakan hukuman penjara selama empat tahun berkuat kuasa hari ini.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan pelaksanaan hukuman penjara
dilaksanakan dengan syarat jumlah jaminan dinaikkan kepada RM30,000 selain
menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Selain itu , tertuduh
wajib melaporkan diri di Balai Polis Rantau Panjang sebulan sekali.Sementara
itu, bapa kandung Yaya, Zulkifli Che Othman, 41, didenda sebanyak RM12,000
selepas didapati bersalah atas pertuduhan mengabaikan anaknya.
Sebelum ini Sinar Harian
melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dipercayai diseksa
dan didera oleh ibu tirinya sendiri sehingga patah tulang belakang, tulang
rusuk serta paha sebelum dibiarkan menderita tanpa sebarang rawatan..
0 comments:
Post a Comment