Saya baru saja
berkahwin dalam setahun. Saya lahir dari kalangan orang susah dan keluarga saya
memang susah. Berlainan dengan suami, dia orang senang dan keluarganya pun
memang asal usul orang berada.
Kerja dan gaji
suami pun alhamdulillah. Sebelum kahwin dengan suami, saya sudah beritahu
awal-awal yang saya ini orang susah. Saya cuma mahu dia menerima saya dan
keluarga saya seadanya. Saya tidak mahu dia cuma sayangkan saya, saya mahu dia
sayangkan keluarga saya juga.
Suami kata, dia
tidak kisah dengan semua itu sebab dia sayangkan saya dan dia tidak kisah
dengan latar belakang keluarga saya.
Tetapi selepas
berkahwin, saya menjadi serba salah. Suami saya menjadi seperti tidak dapat
menerima keluarga saya lagi. Dia tak adalah berkata demikian tetapi dari sikap
dia, jelas sekali menunjukkan dia begitu.
Saya ajak dia tidur
di rumah pun susah. Kadang-kadang saya tinggal di rumah mak dalam sehari dua.
Bila suami nak menjemput saya di kampung, mak punyalah gembira sampai dia
kemaskan rumah, bilik, cadar selimut pun dia cucui semua. Tetapi bila suami
sampai, dia tak nak tidur di rumah dan dia nak balik pada hari itu juga. Nak
ajak makan di rumah pun susah.
Saya ingat lagi
bila suami datang ke rumah mak, mak cepat-cepat pergi pasar beli makanan
sedap-sedap, ikan mahal-mahal, sayur mahal-mahal tetapi nak ajak suami makan
itu, punyalah liat. Saya sedih dan serba salah dengan mak saya.
Selepas berkahwin,
saya dan suami memang duduk berjauhan dengan keluarga saya dan juga keluarga
suami. Saya selalu berkata pada suami,
"Sekali sekala
saya nak bawa mak ke rumah kita, tidur semalam dua, boleh tak bang?"
Tetapi dia
memberikan respon negatif.
"Nantilah
kalau ada masa," katanya.
Tetapi saya tengok
dia tak adalah sibuk sangat. Hujung minggu pun ada saja dan saya sedih sebab
sepanjang perkahwinan, dia tidak pernah bawa mak saya datang ke rumah
kami.
Kadang-kadang saya
nak bawa mak jalan-jalan pergi ke bandar, belikan mak baju, suami kerap
memberikan alasan tak ada masa. Sedangkan kerja tak sibuk mana pun.
Mak saya orang
susah, nak merasa pergi bandar setahu sekali pun jarang. Dia cuma berniaga
sayur di pasar. Kadang-kadang sedih juga tengok mak tak ada baju baru tetapi
bersyukurlah, kadang-kadang suami ada hulur juga pada mak dan ayah saya.
Tetapi mak saya tak
pernah kisah kalau suami saya bagi duit atau tidak pada mereka sebab mak saya
cuma happy dapat menantu yang boleh jaga anak dia. Anak dia pun hidup dah
senang sikit, tak adalah susah seperti mereka.
0 comments:
Post a Comment