Pokok Sena: Melihat dua beradik perempuan yang bukan saja
memiliki paras ayu, malah cekap menggoreng cucur udang di sebuah gerai di tepi
jalan Kuala Nerang, Kampung Pancor, berhampiran Sekolah Menengah Sains Pokok
Sena, di sini, pasti mengundang perhatian ramai.
Tidak ramai gadis sanggup berpanas dengan api dapur untuk
memasak, namun berbeza dengan Nur Ayu Md Yusof, 25, dan adiknya, Nur Aida, 20,
yang turut digelar pasangan kembar apabila kerap memakai pakaian sama setiap
kali berniaga cucur udang di gerai milik ibu mereka, Nadhliah Ibrahim, 60.
Lebih membanggakan apabila kerangupan cucur udang dengan kuah
kacang resipi ibu mereka menjadi buah mulut hingga mendapat tempahan dari Bukit
Mertajam, Pulau Pinang.
Nur Ayu berkata, selepas tamat persekolahan, dia dan adiknya
tidak menyambung pelajaran ke mana-mana sebaliknya hanya membantu ibu nekad
mengembangkan perniagaan itu.
Menurutnya, mereka mempelajari teknik membuat cucur udang dan
menggoreng yang mengambil masa seminggu sebelum lahirnya idea menjual cucur
udang dua beradik.
“Dulu cucur udang kami dijual di gerai makan ini saja, namun
kini ia sudah meluas sehingga mendapat tempahan di merata tempat sekitar negeri
ini untuk majlis perkahwinan, kenduri kesyukuran dan berkhatan.
“Lebih menggembirakan cucur udang dua beradik ini bukan saja
digemari orang Melayu, malah turut mendapat tempahan kaum lain yang memuji
kesedapannya,” katanya.
Menurut Nur Ayu, mereka pernah menjual 20 kilogram cucur udang
yang habis dalam tempoh dua jam saja.
“Pada hari biasa kami menjual 10 kilogram cucur udang di gerai
kami ini bermula dari jam 12 tengah hari hingga 7 malam.
“Pelanggan tetap kami yang menghebahkan kepada orang lain
sehingga mendapat tempahan luar dari kawasan ini.
“Selain cucur udang, gerai kami menjual makanan bergoreng, ayam
goreng dan burger, namun cucur udang dua beradik memang menu istimewa, di
sini,” katanya.
Kata Nur Ayu, dia dan adiknya sering berpakaian sama menyebabkan
mereka digelar pasangan kembar sebagai strategi perniagaan.
“Saya tidak sangka cucur udang dua beradik mendapat perhatian di
hati pelanggan sehingga mendapat tempahan ke Bukit Mertajam.
“Kami tidak membuat promosi secara langsung, sebaliknya lebih
kepada mulut ke mulut apabila mereka yang pernah merasai cucur udang ini
menghebahkan kepada rakan sehingga menjadi bualan ramai,”katanya.
Nur Ayu berkata, dia
berhasrat melebarkan perniagaan dan ingin membuka cawangan di Pulau Pinang.
0 comments:
Post a Comment