JABATAN Perkhidmatan Kuarantin
dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) mengesan cubaan menipu kandungan daging import
selepas menyita empat kontena dipercayai berisi daging babi bercampur daging
kambing dari Sepanyol dalam serbuan di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Gelang
Patah, hari ini.
Pengarah MAQIS Johor/Melaka, Siti Nur Ahmad berkata, serbuan
dilakukan hasil maklumat orang ramai dan pihaknya menyita bekalan daging
bernilai kira-kira RM2 juta dengan anggaran 120 tan.
Katanya, semua daging itu disusun secara bercampur di dalam
empat kontena sejuk beku, sebelum dirampas kira-kira jam 1 tengah hari tadi.
Menurutnya, pihaknya menerima maklumat sejak 31 Mei lalu dan
terus menyekat pergerakan kontena daripada keluar kawasan pelabuhan, selain
menjalankan siasatan bagi mengesan pengimport produk berkenaan.
“Hasil pemeriksaan kami mendapati pengimport adalah pengusaha
tempatan produk sejuk beku dan beroperasi di Selangor dan dipercayai mempunyai
sijil halal keluaran pihak berkuasa tempatan.
“Mereka sepatutnya mengimport daging kambing halal dari
Australia, namun pemeriksaan mendapati hanya satu kontena mengikut peraturan
ditetapkan namun tiga kontena lain mengandungi daging kambing dan bercampur
daging dipercayai babi dari Sepanyol.
“Pengusaha terbabit nyata melanggar syarat permit mengimport
daging dan berdepan tindakan tegas,”katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Siti Nur berkata, setiap kontena dianggarkan mengandungi
kira-kira 30 tan daging, selain pengimport itu sudah dipanggil untuk memberi
penjelasan dan pihaknya akan membuat pendakwaan jika sabit kesalahan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 11 (1) Akta MAQIS 2011 di
mana jika disabitkan kesalahan boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara
tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama,
manakala denda maksimum RM150,000atau penjara tidak lebih tujuh tahun bagi
kesalahan kedua atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. – Harian Metro


0 comments:
Post a Comment