SAN FRANCISCO – Seekor kucing
yang hilang di California kira-kira dua setengah tahun lalu, ditemui semula
akhirnya di negara jirannya, Kanada, beribu-ribu kilometer dari rumahnya.
Kucing yang
bernama BooBoo itu, ternyata begitu asyik ‘mengembara’ sehingga terlupa untuk
pulang ke rumah pemiliknya sendiri dan kemudian dilaporkan hilang pada Ogos
2014 di Watsonville, California.
Media tempatan
melaporkan, BooBoo akhirnya muncul semula pada 30 Mac lalu tetapi dijumpai di
tenggara Kanada, sekitar sejauh 4,830 kilometer dari rumahnya di California,
Amerika Syarikat (AS).
Namun apabila
BooBoo dibawa ke Pusat Kemanusiaan Guelph di Toronto, kucing itu kelihatan
kemas dan ternyata sudah menjaga dirinya dengan baik selama ini meskipun
‘berkelana’ jauh hingga merentasi sempadan negara.
Pengarah
Eksekutif persatuan itu, Adrienne McBride berkata, BooBoo dalam “keadaan yang
bagus sekali” bahkan katanya, kucing itu sudah menjadi gemuk dan mungkin perlu
berdiet apabila pulang ke pangkuan pemiliknya.
Jadi timbul
pula persoalan cepumas menarik, bagaimana agaknya si BooBoo itu boleh selamba
sahaja merentasi jarak beribu-ribu kilometer dari California ke Kanada termasuk
menempuh pelbagai cuaca berbeza?
Pemiliknya, Ashley
Aleman berkata BooBoo mungkin pernah ‘tumpang’ kereta orang tertentu kerana
mamalia itu memang jenis suka melompat masuk ke atas kenderaan individu lain
sebelum ini.
Kucing tersebut
dikenal pasti sebagai BooBoo kerana ada mempunyai mikrocip pada tubuhnya. Para
pegawai perlindungan haiwan sudah membawa BooBoo pulang ke California. –
Agensi/Mynewshub.cc/HAA




0 comments:
Post a Comment