KUALA KEDAH - Sebuah keluarga di
Kampung Madrasah, di sini, mendakwa terpaksa hidup dalam ketakutan akibat
kediaman mereka kerap dimasuki haiwan berbisa, terutamanya ular.
Suriani Said, 35, berkata, kediaman
pusaka lebih 50 tahun dihuni mereka enam beranak kerap dimasuki ular kerana
keadaan rumah makin usang dimamah usia.
"Selain bumbung rumah dah bocor,
bahagian dinding dan alang rumah juga dah reput dimakan anai-anai. Ini tunggu
masa nak roboh saja.
"Bilik air lama dah roboh. Dapur
dah jadi bilik air, bilik tidur jadi dapur. Kami anak beranak terpaksa tidur di
ruang tamu," katanya.
Lebih membimbangkan katanya, tingkap
kediaman mereka rosak dan menyebabkan ia terbuka sepanjang masa dengan ditutupi
kain rentang semata-mata.
"Dah beberapa kali ular masuk ikut
tingkap yang terbuka dan sembunyi dalam baju.
"Bila pakai rasa sejuk-sejuk,
rupanya ular. Nasib baik tak ada apa-apa," katanya.
Menurutnya, mereka sememangnya
berhasrat membaiki kerosakan kediaman sendiri, bagaimanapun pendapatan suami
tidak mencukupi demi merealisasikan hasrat itu.
Katanya, pendapatan suami, Mohd Shukor
Omar, 41, sekitar RM600 sebulan lepas ditolak hutang hanya cukup-cukup menyara
mereka anak beranak makan dan menampung perbelanjaan empat anaknya berusia 8
hingga 15 tahun yang bersekolah.
“Walaupun kak ada pinjam ah long, tapi
wang itu hanya cukup untuk tampung duit beli barang sekolah anak awal tahun
dulu," katanya.
Tambahnya, wang diperoleh hasil jualan
kecil-kecilan di hadapan rumah hanya untuk membayar semula wang ah long, dan
tidak cukup untuk membaiki rumah.
"Saya bimbang keselamatan dan
keselesaan anak-anak. Rumah dah tak selamat nak duduk. "Saya harap
mana-mana pihak dapat bantu baik pulih rumah ini," katanya.
Sumber: Sinar Harian
0 comments:
Post a Comment