TERDAPAT peningkatan 101.6 peratus kes demam denggi atau 754 kes
berlaku di Kedah bagi tempoh 1 Januari hingga 10 Jun lalu berbanding 380 kes
yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu.
Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail
berkata, dalam tempoh itu, sebanyak lapan daerah menunjukkan peningkatan kes
berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Daerah itu ialah Kulim, Kuala Muda, Kubang Pasu, Langkawi, Sik,
Padang Terap, Bandar Baharu dan Baling.
“Namun begitu, kita dapati dua daerah menunjukkan penurunan kes
demam denggi dalam dua tahun kebelakangan ini iaitu Pendang dan Yan,” katanya
dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, walaupun keseluruhan lokaliti wabak menurun
serta berada dalam keadaan terkawal, terdapat lima lokaliti wabak denggi yang
masih aktif.
“Kawasan itu ialah Taman Selasih IV di Kulim, Kampung Charuk Kit
di Sik, Taman Ria Jaya Zon A di Kuala Muda, Kampung Changai di Kubang Pasu dan
Kampung Banggol 9 di Padang Terap,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan wabak Chikungunya, Dr Norhizan
berkata, dari 1 Januari hingga 10 Jun tahun ini, sebanyak 177 kes direkodkan
berlaku membabitkan Kuala Muda, Baling, Pendang, Kulim, Sik dan Kubang Pasu.
“Dalam tempoh itu, kami sudah melaksanakan tindakan pencegahan
dan kawalan demam denggi dengan melakukan pemeriksaan pembiakan aedes di
266,263 premis dan mendapati 5,162 premis mempunyai pembiakan jentik-jentik.
"Kami turut mengeluarkan 2,912 kompaun berjumlah
RM1,456,000 mengikut Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975, dan 453 notis
bagi arahan kerja pembersihan dan pemusnahan tempat berpotensi menjadi tempat
pembiakan aedes," katanya.
Pihaknya turut melaksanakan
semburan membunuh nyamuk aedes di 283,491 premis di seluruh Kedah manakala
52,729 premis yang lain pula diletakkan ubat pembunuh jentik-jentik.
0 comments:
Post a Comment