ALOR SETAR – Dua lelaki
dilaporkan mengalami cedera parah selepas keduanya bergaduh dalam keadaan mabuk
bersama beberapa rakan mereka di Taman Bandar Baru, Pokok Sena di sini malam
kelmarin.
Memetik laporan Bernama, dilaporkan bahawa
dalam kejadian pukul 11.30 malam itu, S. Naresh, 31, yang bekerja sebagai
pemandu cedera parah selepas mengalami pendarahan di kepala dan darah beku di
otak manakala rakannya A. Sinnathamby, 32, luka di belakang badan.
Difahamkan bahawa mereka dipercayai telah diserang dengan
objek tumpul dipercayai kayu dan mangsa terbabit masih menerima rawatan di
Hospital Sultanah Bahiyah, di sini.
Ketua polis Daerah Kota Setar, ACP Rozi Jidin berkata,
kejadian tersebut dipercayai berlaku berpunca daripada salah faham di mana
mereka telah memaki dan mengaibkan nama bapa masing-masing sebelum berlaku
pergaduhan.
"Di fahamkan ketika kejadian, sekumpulan pemuda
berkumpul di sebuah pondok sambil minum minuman keras hingga mereka berada
dalam keadaan mabuk," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Menurutnya lagi, tiga suspek berumur antara 26 hingga 48
tahun telah ditahan dan beberapa orang lagi masih diburu pihak berkuasa untuk
membantu siasatan, manakala tiada sebarang senjata yang digunakan ketika
kejadian.
"Mangsa yang cedera parah kini masih di rawat di
Hospital Sultanah Bahiyah di Unit Rawatan Rapi (ICU)," katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana
merusuh. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment