KUALA LUMPUR: Durian
Musang King atau nama asalnya Raja Kunyit, mempunyai isi berwarna kuning pekat,
durinya bersegi, sementara pangkal tangkainya tidak berduri dan garisan pangsa
jelas pada kulit.
Penolong Pengarah Bahagian
Hortikultur Jabatan Pertanian Serdang Mohd Auzaie Komarudin berkata ini
merupakan antara ciri-ciri utama durian D197 yang didaftarkan di Jabatan
Pertanian pada 1993.
Beliau berkata masyarakat Cina
tempatan gemar menggelarkan raja buah itu sebagai Mao Shan Wang, yang bermaksud
raja kucing gunung iaitu merujuk kepada bentuk isi durian yang mirip posisi
seekor kucing sedang tidur.
“Panggilan itu terus digunakan
secara meluas sehingga perkataan ‘Mao Shan’ ditukar kepada sebutan Musang dan
‘Wang’ ditukar kepada King sehingga dikenali sebagai Musang King hingga kini,”
katanya mengenai durian itu yang banyak didapati di sekitar Raub, Pahang.
Beliau berkata untuk itu,
pembeli perlu sentiasa berhati-hati dalam membeli durian Musang King supaya
tidak ditipu penjual.
“Musang King yang berasal dari
Tanah Merah, Kelantan lebih lonjong seperti bola ragbi berbanding baka lain
yang berbentuk bulat, selain mempunyai corak seakan bintang pada bawah
buahnya,” katanya kepada ketika ditemui di Ladang Bandar Jabatan Pertanian,
Serdang.
Mohd Auzaie berkata isi durian
Musang King lebih tebal ditambah rasa lemak yang sedikit pahit dan bijinya pula
kecil berbanding baka lain.
“Musang King cukup diminati
penggemar durian sehingga dijual agak mahal bermula RM50 sekilogram di pasaran
atau 30 hingga 40 peratus lebih mahal daripada jenis durian yang lain.
“Malah terdapat sesetengah
peniaga cuba mengaut keuntungan mudah dengan mendakwa menjual Musang King,
walhal ia merupakan baka lain,” katanya.
Beliau berkata pembeli perlu
memeriksa ciri-ciri durian itu terlebih dahulu sebelum membelinya bagi
mengelakkan ditipu.
Bagi mengenali baka anak pokok
Musang King pula, beliau berkata pokok duriannya memiliki daun yang lebih
nipis, berbentuk tirus dan sedikit beralun.
“Anak pokok ini sesuai untuk
ditanam di tanahterbuka apabila sudah mempunyai sekurang-kurangnya lapan helai
daun dan kebiasaannya hasil tanaman boleh mula dinikmati seawal lima tahun
setelah ditanam,” katanya. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment