Sunday, December 24, 2017

Filled Under:

Badan ‘Naik’ Bukan Sebab Bahagia, Tapi Sebenarnya Stres. Ini 6 Buktinya



“Amboi, sejak akhir-akhir ni, makin berisi Mak Long tengok. Makin bahagia kamu sekarang ya?”
Ramai orang yang ingat kalau badan kita makin berisi, itu maknanya kita tengah bahagia. Namun sains membuktikan sebaliknya.
Kajian menunjukkan berat badan mudah naik disebabkan gagal menangani stres. Nak tahu kenapa? Ini 6 buktinya.

1. STRES MENINGKATKAN SELERA MAKAN. RASA NAK ‘BAHAM’ SEMUA!
Bila otak terlalu risau, tubuh akan terdorong untuk merembeskan hormon grehlin. Hormon inilah yang menyebabkan minda terangsang untuk makan makanan kegemaran yang tidak sihat.
Sebab itulah kita akan rasa nak makan makanan yang menenangkan seperti coklat atau minuman kegemaran – kononnya untuk stress-relief atau reward diri. Situasi ini selalu terjadi kerana tindakbalas yang berlaku dalam badan kita sendiri.

Terdapat juga kajian sebuah jurnal di Science Direct telah membuktikan bahawa comfort food seperti coklat boleh menjadi ‘jalan keluar’ yang pantas bagi mengurangkan rasa stres.
2. PROSES PEMBAKARAN LEMAK TERHALANG
Walau sekuat mana pun kita bersenam dan berdiet, tetapi berat badan masih tidak turun-turun. Badan pula ‘naik’ bagai dipam-pam. Nak kata makan banyak sangat, tidak juga. Rutin senaman pun masih diteruskan seperti biasa. Tapi kenapa susah betul nak turunkan berat badan? Cuba periksa semula kadar stres anda.
Tahukah anda, stres juga menyebabkan badan sukar memproses lemak untuk bertukar menjadi tenaga. Suatu penelitian mendapati bahawa apabila berada dalam keadaan tertekan, tubuh akan menghasilkan protein yang menghalang enzim yang berfungsi untuk membakar lemak.
Oleh itu, selain bersenam, jangan lupa tumpukan minda pada santapan rohani dan belajarlah menguruskan emosi. Dengan cara ini, barulah lemak dapat dibakar dengan lebih efektif.

3. STRES PEMUSNAH DIET
Memang betul diet bukanlah semudah yang disangka. Lebih-lebih lagi jika sudah terbiasa dengan pemakanan yang tidak sihat. Dalam keadaan stres, tekak lebih terasa mahu makan makanan sedap-sedap. Mungkin ramai menyangka bahawa ini hanya alasan bagi yang mudah mengalah, namun terdapat bukti yang dapat diterangkan secara saintifik dalam soal ini.
Menurut hasil kajian oleh jurnal Neuron, terdapat satu bahagian dalam otak yang berfungsi untuk merekod matlamat jangka panjang dan meyakinkan diri supaya kekal ke arah matlamat tersebut sehingga tercapai. Bahagian kecil ini juga menyimpan maklumat supaya minda berpihak kepada pilihan baik, selari dengan misi yang ingin dicapai. Apabila kerap stres, bahagian otak tersebut tidak dapat berfungsi dengan berkesan.
Kesannya, kita akan mudah beralih kepada diet lama yang memudaratkan kesihatan.
4. STRES MERANGSANG HORMON YANG MENGGEMUKKAN
Stres di tempat kerja membuatkan ramai tidak mendapat tidur yang berkualiti akibat minda yang berkecamuk. Kekurangan tidur mengurangkan rembesan hormon leptin, iaitu hormon yang merangsang minda supaya berhenti makan ketika kenyang. Kekurangan tidur juga boleh meningkatkan paras hormon yang membuatkan kita cenderung terhadap makanan.
Rasa stres dalam aktiviti harian turut meningkatkan produksi hormon kortisol. Paras kortisol yang tinggi ini mampu menjadikan tubuh kita aktif memproduksikan glukos, lalu meningkatkan paras gula dalam darah. Apabila proses ini sering berlaku, ia akan menyebabkan berat badan anda meningkat, seperti yang dijelaskan melalui Today’s Dietitian.
5. METABOLISME BADAN SEMAKIN PERLAHAN
Hari yang sibuk sama ada di rumah atau di tempat kerja kadang-kala membuatkan kita lupa untuk makan. Bila dah pukul 4 petang, baru makan tengah hari kerana terlalu asyik membuat kerja. Tabiat sedemikian dapat mengurangkan tahap metabolisme dalam badan.
Metabolisme yang seimbang penting untuk fungsi badan yang sihat secara menyeluruh. Pakar juga menyarankan untuk mengikut waktu pemakanan yang tetap untuk mengekalkan berat badan yang seimbang.
6. IA ‘MENYERAP’ TENAGA SEMASA BERSENAM
Sebenarnya tujuan untuk bersenam ialah untuk meningkatkan stamina dan tenaga dalam badan. Namun begitu, tanpa kita sedari kadangkala kita menjejaskan diri sendiri dengan melakukan dua perkara dalam satu masa. Kalau bersenam sambil risaukan kerja di pejabat, tubuh anda akan menjadi lebih cepat penat.
Satu kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa individu yang bersenam sambil otaknya ligat memikirkan bermacam-macam benda akan menyebabkan ketahanan ototnya berkurang sebanyak 25%. Maka anda mungkin tidak dapat berlari sejauh yang anda sasarkan. Tubuh pula juga terasa begitu lesu selepas sesi senaman.
SEKARANG ANDA DAH TAHU PUNCANYA?
Stres ada fungsinya tersendiri, di mana ia membantu mengembangkan potensi diri dengan bergerak maju jauh daripada comfort zone. Namun, ia perlu dikawal agar tidak mendatangkan ,ebih banyak keburukan berbanding kebaikan.
Gaya hidup sihat yang ingin dicapai bukan sahaja perlukan komitmen daripada aspek fizikal semata-mata, tetapi status mental seseorang juga perlu stabil dan kekal tenang. Minda dan jasmani yang sihat membuatkan hormon lebih stabil dan metabolisme seimbang.
Praktikkan pengisian rohani dan berbicaralah dengan seseorang tentang masalah yang dihadapi supaya beban di minda dapat dikurangkan.
Sumber: siraplimau.com






0 comments:

Post a Comment