GEORGE TOWN – Pulau Pinang hari
ini lumpuh selepas puluhan jalan ditutup dan ratusan rumah di lima daerah di
negeri ini dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat lebih 15 jam sejak
semalam.
Hujan lebat dan
angin kencang sejak 2 petang dan berlarutan sehingga 5 pagi ini juga
menyebabkan ratusan pokok dan beberapa kawasan mengalami kejadian tanah runtuh.
Hampir
keseluruhan kawasan rendah di Pulau Pinang dinaiki air setinggi 0.2 meter
hingga 1 meter berikutan hujan lebat berterusan menyebabkan paras air sungai
meningkat dan bertembung dengan kejadian air pasang di laut mengakibatkan
limpahan air berlaku dengan pantas.
Ketua Menteri
Lim Guan Eng berkata 1,968 mangsa banjir kini ditempatkan di beberapa pusat
pemindahan banjir yang dibuka di empat daerah di negeri ini.
Beliau berkata
1,125 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan banjir di daerah Seberang Perai
Tengah, 615 mangsa di Seberang Perai Utara (SPU), 70 mangsa di daerah Timur
Laut dan 158 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan banjir di daerah Barat
Daya.
“Angkatan Tentera Malaysia sudah menghantar anggota-anggota mereka
di daerah Timur Laut. Di kawasan Seberang Perai kita masih menunggu anggota
tentera dari Kem Sungai Petani dan kita amat perlukannya. Ada ramai
mangsa-mangsa yang hendak kita selamatkan.
“Keadaan sekarang lebih baik sikit kerana hujan telah reda.
Sungguhpun begitu, air banjir masih belum surut dan kita lihat angin masih
kuat. Kita masih bimbang tentang kejadian yang tidak diingini kerana angin kuat
dan kita bimbang hujan akan kembali lagi,” katanya di sini,
hari ini.
Lim berkata
kejadian angin kencang yang melanda negeri ini awal pagi ini adalah sesuatu
yang tidak dijangka.
“Angin yang begitu kuat tak pernah kita lihat bersama hujan lebat
(dan ia) benar-benar telah melebihi keperluan kita. Kita tidak ada sumber yang
cukup untuk menangani keperluan mangsa-mangsa banjir. Terima kasih pihak
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta
semua pasukan penyelamat yang datang membantu.
“Saya harap semua dapat terus jaga keselamatan diri dan keluarga,” katanya.
Tinjauan Bernama di
kawasan Seberang Jaya, dekat sini mendapati kawasan berkenaan paling teruk
terjejas dengan beberapa bahagian Hospital Seberang Jaya (HSJ) dinaiki air
namun keadaan masih terkawal dan tiada pesakit dipindahkan.
Seramai 21
mangsa banjir daripada enam keluarga ditempatkan di pusat pemindahan banjir
sementara di Taman Siakap, Seberang Jaya selepas kawasan rumah mereka dinaiki
air dengan begitu pantas pada kira-kira pukul 7 malam.
Sementara itu,
Pengurus Kanan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Ramzi Ahmad
berkata hujan lebat dan angin kuat itu turut menyebabkan empat penerbangan yang
sepatutnya mendarat di lapangan terbang berkenaan terpaksa dilencongkan.
Katanya tiga
penerbangan dilencongkan ke Lapangan Terbang Subang manakala satu penerbangan
lagi dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan kesemua
mendarat dengan selamat.
“Berikutan cuaca buruk itu, lebih 26 penerbangan yang berlepas
dari LTAPP turut mengalami kelewatan, namun operasi di lapangan terbang
berjalan lancar. Pada masa ini semua operasi penerbangan berjalan seperti
biasa,” katanya.
Sementara itu,
Rapid Penang menghentikan sementara operasi perkhidmatan basnya berikutan
kejadian banjir kilat di bahagian pulau dan tanah besar.
Dalam satu
kenyataan hari ini, Rapid Penang berkata “banyak jalan utama dinaiki air
dan demi keselamatan orang ramai, kami tidak mempunyai pilihan selain
menghentikan operasi sehingga keadaan kembali pulih,” kata
kenyataan itu sambil meminta orang ramai merujuk laman Facebook Rapid Penang di rapidpgfans untuk
maklumat terkini. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment