BUKAN mudah nak jumpa orang yang
jujur mengaku kesalahan sendiri, malah bukan mudah juga bagi segelintir
individu untuk mengaku bersalah serta memohon maaf.
Baru-baru ini
seorang pengguna Facebook, Hafidz Hakimy memuat naik status beserta gambar
sekeping nota daripada seseorang memohon maaf daripadanya kerana tidak sengaja
menyebabkan keretanya calar.
Menceritakan
mengenai kejadian tersebut, Hafidz memberitahu insiden itu berlaku pada dua
minggu lalu sewaktu dia pulang ke rumah ibunya di Kampung Titi Gajah, Alor
Setar, Kedah.
Bagaimanapun
ketika hendak memasuki simpang, muncung di bahagian depan kenderaannya yang
berwarna merah itu secara tidak sengaja dilanggar sebuah motosikal yang ingin
membelok.
Pun
begitu, penunggang berkenaan tidak pula memberhentikan motosikalnya malah
meneruskan perjalanan tanpa mengendahkan Hafidz.
“Saya tidak mengambil sebarang tindakan kerana hanya terdapat
kesan calar di bahagian depan saja,” katanya dipetik portal Harian
Metro.
Bagaimanapun,
Hafidz pada keesokan hari terkejut setelah menerima sepucuk surat berisi
sehelai kertas dengan tulisan dakwat merah yang diletakkan di pelantar rumah
ibunya.
Surat tulisan
tangan itu dipercayai milik seorang pelajar yang ingin memohon maaf selepas
tidak sengaja melanggar keretanya.
“Petang tadi saya rasa rasa kereta tuan/puan yang langgaq
motosikal saya. Kalau salah kereta minta maaf. Kalau betul pun saya nak minta
maaf juga. Saya tahu saya yang bersalah petang tadi.
“Saya terus jalan saja sebab tak mahu perbesakan kes ini. Motor
saya tak ada apa-apa, cuma kaki saya saja terkena kereta tuan/puan sikit.
“Tapi tak ada apa-apa pun. Kalau kereta tuan/puan ada calar sikit
ke, banyak ke, saya minta maaf sangat-sangat.
“Saya nak ambil peperiksaan SPM tiga hari lagi. Sekali lagi saya
nak minta maaf. Kalau ada salah dengan manusia ini kita kena minta maaf dengan
dia sebab itu salah kita dengan dia. Tak boleh minta maaf dengan Allah.
“Saya harap tuan/puan maafkanlah. Jangan doakan yang pelik-pelik
sebab saya nak ambil SPM. Saya harap tuan/puan redha dengan kesalahan saya,” tulis pelajar
berkenaan.
Namun begitu,
Hafidz tidak menyimpan dendam atau marah, malah memafkan pelajar berkenaan dan
kagum dengan kejujuran dalam menulis surat untuk memohon maaf walaupun tidak
berjumpa dengannya secara berdepan.
Susulan
kejadian itu, Hafidz menasihatkan pelajar berkenaan supaya lebih berhati-hati
apabila menunggang motosikal kerana masih muda dan mendoakan supaya remaja itu
cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Perkongsian
Hafidz di laman sosial itu turut mendapat reaksi positif daripada netizen yang
memuji sikap murninya dan tindakan pelajar tersebut yang berani berterus terang
mengaku kesilapan diri.
Semoga insiden
ini menjadi contoh kepada orang ramai dan seterusnya menjadi kesinambungan
kebajikan kepada orang lain. – MYNEWSHUB.CC
0 comments:
Post a Comment