Tuesday, November 7, 2017

Filled Under:

Kalau Nak Anak Bijak, Jangan Buat 4 Perkara Ini Yang Boleh Halang Perkembangan Positifnya



Semua ibu bapa mahu anak masing-masing membesar dengan bijak. Tolong elakkan daripada buat perkara-perkara yang boleh menghalang perkembangan positifnya. Tanpa kita sedar sikap kita sendiri yang menyebabkan perkembangan anak untuk bereksplorasi tersekat dan terhalang oleh arahan dan larangan tertentu.
“Adam, jangan kutip mainan. Kotor!”
“Adam, jangan panjat, nanti jatuh!”
“Biar Mama dukung saja. Kotor nak merangkak kat situ.”
Berikut antara dialog yang sering diucapkan oleh sesetengah ibu terhadap bayi kecilnya yang semakin lasak dan aktif.  Melihat caranya melayan bayi, kita boleh membuat kesimpulan si ibu terlalu melindungi anaknya.
Memang benar, sebagai ibu kita mahu memberikan yang terbaik kepada anak dan mahu melindungi mereka daripada ancaman bahaya tetapi kadang-kala tanpa disedari, kita juga menjadi penghalang terbesar kepada perkembangan positif anak.
Secara semula jadi, bayi akan mula meneroka dunia sekelilingnya dalam proses tumbesaran yang aktif. Mereka belajar daripada persekitaran. Ia membantu perkembangan positif anak menjadi lebih mahir dan cekap mencapai perkembangan kemahiran motor mereka seperti meniarap, merangkak, duduk, berdiri dan berjalan.
Pelbagai halangan dan perlindungan yang keterlaluan hanya akan menyekat keinginan semula jadi anak untuk meneroka dan belajar. Tanpa disedari, kita sendiri yang menghalang proses perkembangan anak bahkan mengganggunya membesar sebagai anak yang kreatif dan inovatif kelak.
4 perkara ini eloklah dielakkan jika mahu anak membesar dengan sikap yang positif.
1. Terlalu melindungi
Sikap tidak mahu anak terdedah kepada bahaya memang sikap pelindung ibu dan ayah. Namun jika kita keterlaluan tidak mahu anak berada dalam keadaan berisiko, anda sebenarnya telah menanamkan perasaan rendah diri, penakut dan sombong dalam diri anak anda sejak dia kecil lagi.
2. Cepat beri bantuan
Jika anak anda sedang dalam proses belajar kemahiran motor seperti duduk, berdiri atau berjalan, biarkan sesekali dia melakukan kesilapan dan merasakan kesakitan. Jangan terlalu cepat memberikan bantuan. Ia hanya akan membuatkan anak anda mudah lemah semangat dan cepat berputus asa kerana tahu ibu ayah akan datang membantu.
3. Mudah ‘cair’ dengan anak
Kadang kala sikap kita sebagai ibu bapa terlalu mudah ‘cair’ dengan anak-anak. Biarpun mereka melakukan kesilapan, dengan membuat mimik muka comel, ia sudah cukup membuatkan kita mudah memaafkan kesilapan mereka. Seharusnya kita tegas dengan pendirian kita sebagai ibu bapa. Kata orang melentur buluh biar dari rebungnya.
4. Cakap takk serupa bikin
Walaupun anak anda masih usia bayi tetapi mereka memerhatikan tingkah laku anda. Oleh itu pastikan anda memberikan mereka contoh yang baik dalam urusan mendidik mereka. Jangan terkejut jika satu hari nanti anak anda meniru perbuatan buruk anda. Misalnya bercakap kasar atau suka menjerit. TIdak mustahil si kecil juga akan pandai menjerit dan bercakap kasar bila tiba saatnya nanti.
Bukan mudah nak menjadi ibu bapa yang terbaik dan sempurna tapi berusahalah untuk bergelar ibu bapa yang sentiasa prihatin dan peka terhadap rangsangan positif perkembangan si anak.






0 comments:

Post a Comment