Pada tahun 2005 iaitu
kira-kira 12 tahun yang lalu, industri automotif Malaysia dikejutkan dengan
Esna Venere, sebuah nama yang disebut-sebut sebagai supercarpertama
negara kita.
Esna Venere dikatakan berpotensi menjadi suatu batu loncatan
untuk Malaysia menjadi setanding dengan negara-negara pengeluar sports car seperti Jerman, Itali dan
Jepun.
Sehingga kini, maksud sebenar perkataan “Venere” masih belum
diketahui, namun apa yang penting untuk anda ketahui ialah penciptaan kereta
ini merupakan buah idea seorang usahawan tempatan yang idealistik bernama
Esmail Naziadin. Pada ketika itu, tiada siapa dapat terfikir akan wujudnya sports car buatan Malaysia dengan harga
anggaran antara RM500,000 ke RM800,000 seunit.
Reka bentuk model ini sepenuhnya dihasilkan oleh warga tempatan.
Projek tersebut mengambil masa hanya 5 bulan untuk ditukar dari sekadar
sebuah lakaran kepada konsep yang anda dapat saksikan.
Spesifikasi kereta ini dikatakan dilengkapi enjin 3.0L enam
silinder superchargeddipadankan dengan
pilihan transmisi enam-kelajuan manual atau automatik yang mampu menghasilkan
kuasa setinggi 300 hingga 350 hp. Ia juga boleh mencapai kelajuan tertinggi
sehingga 300km/j.
Badan Esna Venere akan diperbuat daripada penggunaan bahan
komposit seperti aloi chromoly, aluminium sarang lebah dan gentian karbon. Oleh
sebab itu, berat kereta ini ketika siap amat ringan iaitu di bawah
1,080kg. Sistem suspensinya pula menggunakan teknologi double wishbone yang ditala oleh pakar
tempatan dan luar negara.
Selepas diumumkan pada tahun 2005, pengilang Esnasports Sdn
Bhd agak bercita-cita tinggi dan ada membuat perancangan untuk mempamerkan
prototaip ini di Geneva Motor Show pada tahun 2006. Terdapat juga cakap-cakap
untuk Venere bertanding dalam Le Mans 24 hours Endurance Race juga pada tahun
yang sama.
Pastinya, sports car ringan
ini yang dijangka dikeluarkan secara terhad sebanyak 150 unit sahaja mempunyai
potensi yang bagus kerana pada masa itu sebanyak 20 tempahan telah berjaya
dibuat.
Malangnya, pengasasnya Esmail Naziadin meninggal dunia sebelum
kesemua perancangan ini dilakukan. Dengan kematian beliau, maka projek kereta
tempatan yang optimistik ini terpaksa ditamatkan dan hanya menjadi
kenangan dalam sejarah permotoran negara.
Kita sepatutnya mengingati usaha Esmail kerana ia merupakan
gambaran jelas akan semangat “Malaysia Boleh” yang sentiasa diuar-uarkan.
Ternyata, harapan untuk melihat kereta tersebut diparkir di tepi pantai French
Riviera tidak dapat menjadi kenyataan.
Jika tidak, ia mungkin dapat mengubah persepsi Jeremy Clarkson
terhadap kebolehan Malaysia dalam mencipta kereta berkualiti sejak perbuatan
beliau memalukan kereta Perodua Kelisa menerusi rancangan “Top Gear”.
Tidak mustahil Esna Venere bakal menjadi kereta ikonik
kebanggaan Malaysia yang mampu mencabar nama-nama besar dalam industri sports car yang lain seperti Porsche,
Ferrari dan Lotus.
Adakah rakyat tempatan yang boleh menyambung visi Esmail
Naziadin bagi merealisasikan projek ini di masa akan datang? Wallahualam.
Sumber : Illuminasi.com
0 comments:
Post a Comment