Dalam Islam pernikahan adalah sunnah hukumnya. Jika mahu
memperoleh rezeki yang banyak, bernikahlah kerana pernikahan merupakan salah
satu jalan sebagai pembuka pintu rezeki. Membahagiakan isteri boleh melancarkan
rezeki dan jangan sakiti hati isteri kerana suami yang menyakiti hati isteri
akan disempitkan rezekinya.
‘Sedangkan lidah lagi
tergigit, inikan pula suami isteri’, jika berlaku masalah dalam rumahtangga,
selesaikan dengan cara yang baik. Jangan kerana masalah yang kecil atau remeh,
suami sanggup menyakitkan hati isteri dan menyebabkan rezeki sempit. Ini antara
enam kesan membuatkan rezeki suami semakin sempit.
Pertama, isteri rasa tidak
bahagia. Apabila sering disakiti oleh suami, pasti isteri rasa tidak bahagia
dan perkara ini akan memberi kesan dalam tugas harian isteri. Tetapi, jika
isteri rasa bahagia secara tidak langsung isteri akan menjadi perangsang
terbaik untuk suami mencari lebih banyak rezeki.
Kedua, isteri menjadi orang
yang tidak bersyukur. Jika suami sering menyakiti hati isteri dalam bentuk
ucapan atau tindakan isteri pasti rasa tidak bersyukur kerana mempunyai suami
seperti ini. Tetapi, jika isteri disenangi oleh suami, pasti dia berasa
bersyukur kerana mempunyai suami seperti anda dan akan sentiasa mendoakan
rezeki suami terbuka luas.
Ketiga, isteri tidak ikhlas
melayani suami. Jika isteri dilukai suami pasti segala layanan yang diberikan
isteri pada suami dilakukan secara paksaan atau tidak ikhlas. Apabila seorang
isteri tidak ikhlas dalam melayani suami, pintu rezeki akan tertutup. Namun,
jika pasangan ikhlas dalam memberi layanan mereka maka Allah akan menggandakan
ganjaran rezeki yang luas untuk keluarga.
Keempat, mood isteri
terganggu. Apabila seorang isteri mula kecewa dengan suami pasti akan memberi
kesan pada mood mereka. Perasaan negatif mula berlaku setiap kali mood isteri
terganggu dan perkara ini akan menyebabkan berlaku pertengkaran dalam rumah
tangga.
Kelima, isteri tidak
menyokong suami. Jika sebelum ini isteri akan memberi sokongan dalam setiap
perkara yang dilakukan suami. Tetapi saat hati mereka terluka isteri akan
kurang memberi sokongan pada suami. Perkara ini sebenarnya memberi kesan pada
suami dan rasa hilang semangat, terutama sekali apabila suami ditimpa masalah.
Keenam, beri kesan terhadap
anak-anak. Jika isteri sudah mula terluka perkara ini akan memberi kesan pada
perkembangan anak-anak. Cara layanan isteri pada anak-anak juga mungkin
berkurang berbanding sebelum ini jika isteri bahagia. Anak-anak juga merupakan
rezeki dalam rumah tangga.
Apapun, tidak
salah membahagiakan isteri sendiri kerana dia adalah satu-satunya insan yang
sentiasa berada di samping suami ketika susah dan senang. Disebalik kejayaan
seorang lelaki, pasti dibelakangnya berdiri seorang wanita. Jika mahu rezeki
luas, bahagiakan isteri anda. Ramai orang kaya pun tak bahagia kerana tak
menghargai isteri. Memiliki semuanya seisi dunia tetapi tidak memiliki walau
secebis bahagia di dalam hati. –
MissA/UtaraNews.com
0 comments:
Post a Comment