RIYADH – Seorang lelaki warga
Arab Saudi dilapor memfailkan saman terhadap beberapa jirannya hanya kerana dia
melihat mereka tergamak melangkah semut secara sengaja sehingga mati.
Menurut laporan
media tempatan, dalam tuntutan sivilnya itu, lelaki tersebut yang tidak
didedahkan identitinya bertindak mengisytiharkan tindakan ‘kejam’ jirannya
memijak mati semut supaya tidak ditiru oleh masyarakat.
“Semut adalah salah satu makhluk hidup ciptaan Tuhan dan haiwan
kecil ini mempunyai hak untuk hidup di atas bumi,” kata lelaki
berkenaan dalam nota tuntutan samannya yang difailkan di sebuah mahkamah
setempat.
Anehnya,
tuntutan undang-undang pelik itu sendiri telah difailkan beliau sejak lapan
tahun lalu tetapi uniknya, tuntutan tersebut turut disampaikan oleh Hakim
Mohammed Al Fayez kepada lelaki berkenaan sendiri.
Bercakap kepada
plaintif di mahkamah, hakim berkenaan menjelaskan bahawa tuntutan saman lelaki
itu diterima. Bagaimanapun, Mohamad juga menghendaki plaintif memasukkan
kontrak saman itu dengan ada peguam semut.
“Tuntutan anda diterima selaku insan pembela semut, namun ia
sangat jelas bagi saya bahawa ketika anda mahu mengajukan saman ini, anda tidak
menyertakan kontrak peguam daripada ibu bapa si semut yang meninggal dunia.
“Ini kerana haiwan berkenaan menjadi mangsa akibat diinjak oleh
defendan,” kata hakim tersebut yang dipetik laman Alarabiya.net baru-baru
ini sehingga menjadi tular dalam kalangan pengguna media sosial tempatan.
“Justeru, kes ini tidak dapat diteruskan sehingga individu
berkenaan (waris keluarga semut) hadir di mahkamah dan mempunyai seorang peguam
pendakwaan sebagai plaintif yang sah untuk mewakili mereka,” kata Mohamad.
Hakim kemudian
meminta lelaki berkenaan untuk menunjukkan kontrak peguam yang ditandatangani
oleh ahli keluarga semut. Sekiranya plaintif tersebut dapat memenuhinya,
perbicaraan akan diteruskan seperti biasa.
“Mahkamah juga akan memanggil defendan hadir pada sesi
pendengaran,” kata Mohamad. Plaintif yang terkejut mendengar arahan
hakim itu tidak bersuara dan bertindak meninggalkan mahkamah. –
Mynewshub.cc/HAA
0 comments:
Post a Comment