Kuala Lumpur: Akibat dari kesukaran untuk
mendapatkan pelanggan yang ingin menaiki teksi, seorang lelaki nekad untuk
berhenti menjadi pemandu teksi dan bertukar kepada perkhidmatan GrabCar yang
dipercayai memberi pendapatan yang lumayan.
Tidak dinafikan, pendapatan pemandu teksi di negara ini menerima kesan
buruk dengan kewujudan perkhidmatan kereta persendirian seperti GrabCar dan
Uber yang menjadi semakin popular dikalangan pengguna masa kini.
Abd Khalil Ali, 54, nekad untuk beralih angin kepada perkhidmatan
GrabCar kerana terpaksa berdepan dengan masalah sewa permit dengan kadar
bayaran yang tinggi selain dari kesukaran untuk mendapatkan pelanggan hingga
menyebabkan mereka menerima pendapatan bulanan yang sedikit.
Menurut Abd Khalil, selepas menjadi pemandu GrabCar, dia kini memperoleh
pendapatan yang lumayan tanpa sebarang tekanan lagi.
“Sejak beralih angin kepada perkhidmatan GrabCar, setiap bulan saya
boleh dapat gaji lebih dari RM5,000.
“Sejak 10 tahun menjadi pemandu teksi, pendapatan saya hanya cukup-cukup
makan tetapi kini dapatlah saya membuat simpanan selain berbelanja untuk
menampung persekolahan anak,” katanya yang dipetik dari laporan
Harian Metro.
Jelas bapa kepada tujuh anak ini, dia tidak boleh terus bergantung
kepada pendapatan menjadi pemandu teksi sahaja kerana kini, perkhimatan ini
dilihat merosot sehingga 80 peratus akibat persaingan dengan GrabCar dan
Uber.
“Dengan menjadi pemandu GrabCar, dapatlah saya menambah sumber
pendapatan melihatkan kos sara hidup yang semakin tinggi pada masa kini.
“Alhamdulillah sejak lima bulan menjadi pemandu GrabCar, kini pendapatan
saya bertambah dan dapatlah saya menyara kehidupan keluarga dan persekolahan
anak,” katanya.
Tambahnya lagi, melihat kepada keadaan ekonomi yang tidak stabil, dia
perlu bekerja lebih masa daripada pekerjaan sebelum ini demi mencari duit untuk
menampung kehidupan keluarga.
“Setiap hari, saya memandu antara 16 hingga 23 jam sambil menunggu
permintaan daripada penumpang menerusi aplikasi berkenaan.
“Pernah juga saya memandu dari Shah Alam ke Pulau Pinang atas permintaan
penumpang. Demi mencari rezeki dan menambah sumber pendapatan, saya ikutkan
saja walau terpaksa berdepan jarak perjalanan yang jauh,” katanya yang juga
Pengerusi Persatuan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Seksyen 13, Shah Alam.
Menurut Abd Khalil, pemandu teksi boleh menjadi pemandu GrabCar dengan
mendaftar di laman web rasmi atau hadir ke pejabat Grabcar yang terletak di
Petaling Jaya pada bila-bila masa sahaja kerana mereka kini tidak
terikat.
“Persatuan teksi tidak menghalang ahlinya mencari sumber pendapatan
sampingan asalkan mereka membayar sewa permit sebanyak RM45 hingga RM55 sehari.
“Kini, GrabCar turut menggalakkan pemandu teksi beralih arah menjadi
pemandu GrabCar yang mana pihak mereka menyediakan pelbagai insentif bagi
menggalakkan tenaga kerja di samping menjana pendapatan tinggi,” katanya lagi.
Jelas beliau lagi, meskipun pelbagai program penambahbaikan perkhidmatan
teksi dilaksanakan seperti aplikasi 2GO, MyTeksi, PICKnGO dan EASY Taxi, masih
lagi tidak dapat menarik perhatian rakyat Malaysia kerana kurangnya publisiti
serta sambutan dari orang ramai.
“Sikap pemandu teksi itu sendiri perlu berubah dan jangan hanya mengeluh
jika pendapatan yang diraih sedikit.
“Pemandu teksi seharusnya lebih berdisiplin dan mematuhi keperluan
pengguna sekaligus dapat menonjolkan imej positif sistem pengangkutan awam di
negara ini,” katanya.
Dia berkata, setakat ini belum ada kaedah baru untuk menarik orang ramai
menaiki teksi selain memperkenalkan aplikasi PICKnGO baru-baru ini.
“Dalam meningkatkan mutu perkhidmatan teksi, saya mencadangkan supaya
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengenakan sistem dimerit kepada
pemandu teksi yang melanggar peraturan seperti tidak memakai meter dan
mengambil kesempatan terhadap penumpang terutama pelancong asing sebagai
langkah mendisiplinkan mereka,”akhirnya.
Sumber- Harian Metro





0 comments:
Post a Comment