BATU PAHAT, JOHOR -
Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun parah digigit anjing selepas
motosikal yang ditunggang oleh bapa saudaranya bersama ibu dan kakaknya
terbabas, lapor Harian Metro.
Dalam kejadian di
depan rumah kedai di Taman Banang Height kemarin, mangsa, Ainin Syuhadah
Syahrul Nizam, 2, parah di kepala akibat digigit seekor anjing yang ditambat di
hadapan premis tersebut.
Menurut laporan,
motosikal yang ditunggang oleh bapa saudaranya, 17, dalam perjalanan pulang ke
rumah sewa yang berdekatan. Namun dalam perjalanan itu, adiknya cuba mengelak
sebuah lori yang sedang memunggah barang lalu menyebabkan mereka terbabas dan
merempuh pintu kedai bersebelahan menyebabkan kesemua mangsa terjatuh.
"Kami dalam
perjalanan pulang dari hospital selepas menziarahi seorang lagi adik saya yang
sakit dan ketika kejadian, saya memeluk Ainin Syuhadah lalu terjatuh ke dalam
longkang. Manakala adik saya dan Ainul Safiya jatuh di bahagian kaki lima
premis berkenaan," katanya.
Berdasarkan rakaman
kamera litar tertutup (CCTV), anjing berkenaan terus menerkam mangsa dan enggan
melepaskan gigitannya menyebabkan orang ramai yang melihat kejadian itu turut
membantu melepaskan mangsa.
"Secara
tiba-tiba anjing yang diikat di situ menerkam kami, mungkin kerana haiwan itu
terkejut terdengar bunyi rempuhan motosikal ke pintu kedai dan terus menggigit
kepala Ainin Syuhadah.
"Anak saya
menangis kesakitan dan meraung sekuat hati ketika anjing itu menggigit bahagian
belakang kepala termasuk telinga kanan sehingga darah mengalir. Orang ramai
juga membantu melepaskan gigitan anjing terbabit sebelum anak dibawa ke
hospital dan menerima beberapa jahitan di kepala serta telinga," katanya
yang masih berada dalam keadaan trauma.
Difahamkan, Noor
Fazilah Ishak, 30, anaknya, Ainul Safiya, 4, serta bapa saudaranya tidak
mengalami sebarang kecederaan dan Ainin Syuhadah kini sedang dirawat di
Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).
Dalam kenyataan
kepada media, Noor Fazilah kesal dengan komen-komen netizen yang membuat
andaian sendiri sehingga menuduh adiknya mengambil bahan terlarang, selain
menyatakan pemilik anjing berkenaan tidak bertanggungjawab.
"Saya kesal
apabila membaca komen di media sosial termasuk menyatakan pemilik anjing
berkenaan tidak bertanggungjawab. Sedangkan mereka memberi kerjasama yang baik
termasuk melawat anak di hospital semalam.
"Kami juga
sudah membuat laporan polis serta merujuk kepada Jabatan Veterinar berkaitan
haiwan itu dan tidak mahu isu ini terus diperbesarkan sedangkan ia boleh
diselesaikan dengan cara baik," katanya.
Sementara itu,
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa mengesahkan
kejadian itu dan meminta pihak berkuasa tempatan melakukan pemantauan terhadap
anjing-anjing liar mahupun anjing perliharaan yang dibiarkan di tempat awam.
"Kes berkenaan
disiasat di bawah Rule 10 LN 166/59 manakala kes kanak-kanak digigit anjing
disiasat di bawah Seksyen 289 Kanun Keseksaan kerana cuai sehingga menyebabkan
binatang peliharaan mendatangkan kecederaan.
"Jika disabit
kesalahan, boleh dihukum penjara maksima enam bulan dan denda tidak lebih
RM2,000 atau kedua-duanya sekali," katanya.





0 comments:
Post a Comment