Hutan Sherwood semestinya
terkenal dengan legenda Robin Hood yang menjadi terkenal sebagai ‘penjenayah
baik hati’. Hal ini kerana Robin Hood hanya melakukan aktiviti jenayahnya
dengan merompak orang kaya untuk membantu masyarakat miskin.
Kini, seorang pemburu
harta karun telah mendapat nasib yang sangat baik setelah menemui sebentuk
cincin purba di sekitar kawasan hutan Nottinghamshire berkenaan
Cincin purba ini dikatakan
ditemui di dalam tanah dan dipercayai berasal dari abad ke-14. Malahan,
anggaran nilai cincin purba ini juga dikatakan boleh mencapai sehingga
RM367,000 ($87,000)!
Artifak
yang sungguh bernilai ini telah ditemui oleh Mark Thompson yang menyara
pendapatan hidupnya dengan bekerja sebagai pengecat jentera forklift. Namun,
seluruh hidupnya mulai berubah apabila alat penjejak logamnya mengeluarkan
bunyi sewaktu Mark sedang menjejaki barangan logam.
Mark yang berusia 34 tahun mula berminat untuk mengumpul
barangan logam ini kira-kira 18 bulan yang lalu. Pada awalnya, Mark cuba
melakukannya sekadar untuk berseronok dan berharap akan menemui duit syiling
ataupun barangan lain yang tercicir oleh para pengunjung.
Sebaik sahaja alat penjejaknya berbunyi,
Mark mula menggali tanah sebelum melihat pancaran sinar emas di dalam tanah
tersebut. Sebaik sahaja membersihkannya daripada tanah, Mark mendapati ianya
adalah sebentuk cincin dengan perhiasan batu nilam yang sangat cantik dan
besar.
Mark kemudiannya membuat laporan mengenai penemuan tersebut yang
kini sedang dalam proses mengenalpasti ketulenan harta karun berkenaan.
Dia kemudian dimaklumkan oleh para pelelong bahawa nilai cincin
tersebut berkemungkinan boleh mencecah di antara RM105,568 sehingga RM367,375.
“Ia adalah satu penemuan
yang sangat berharga sepanjang hidup. Saya benar-benar tidak menjangkakannya
dan ia mungkin boleh mengubah hidup saya”.
Menurut Mark, dia yang
selama ini duduk di rumah sewa berharap untuk membeli sebuah rumah dan
berpindah ke tempat lain yang lebih selesa.
Cincin tersebut yang turut dihiasi dengan ukiran seorang bayi Kristian pada satu bahagian dan seorang wanita Kristian pada bahagian lain dipercayai berasal daripada abad ke-14 (tahun 1301 hingga 1400).
Setelah cincin ini dinilai oleh pakar dan disahkan sebagai khazanah, ianya akan ditawarkan kepada pihak muzium untuk membelinya. Sebagai individu yang bertanggungjawab menemui cincin berkenaan, Mark akan menerima ganjarannya.
Selain Mark, seorang lagi pemburu harta karun amatur di utara Yorkshire bernama Lee Rossiter telah menemui sebentuk cincin Tudor yang sangat bernilai. Atas penemuan tersebut, lelaki berkenaan menerima ganjaran wang tunai dalam nilai lima angka!
Cincin berkenaan dikatakan berasal dari abad ke-15 dan mengandungi 80% emas tulen serta dihiasi batu zamrud dan batu delima. Ianya ditemui dengan alat pengesan logam murah yang dibeli daripada laman eBay.
Sememangnya bagai ‘bulan jatuh ke riba’.
Sumber: DailyMail
0 comments:
Post a Comment