( photo page " kaka kampit beras )
“Saya jaga awak sempurna tak? Kalau ada yang kurang saya minta
maaf. Awak suka tak tinggal di sini?” luah Yajit Mohd Jamil, 45, seakan-akan
berbual dengan manusia lagaknya sambil membelai mesra kucing yang diberi nama
Comel.
Memahami bahasa tuannya Comel terus menggesel-gesel badannya ke
muka Yajit, menjilat tangan lantas duduk di riba. Bagi Yajit berbual-bual
dengan kucing menjadi kebiasaannya sejak 10 tahun lalu, malah kecintaan
terhadap haiwan itu sama seperti menjaga anak sendiri.
Yajit masih ingat Comel dulunya hanya kucing jalanan yang penuh
kurap di badan. Kucing buangan tidak bertuan itu diambil, dimandikan dan
diberikan rawatan sehingga kurapnya hilang dan bulunya tumbuh menebal.
Kucing ini diberikan nama mengikut sifat mereka misalnya Tam
berbulu hitam, Sepet memiliki mata sepet, Zoro mempunyai bulu hitam berkilat
dan putih di muka, Cemah kucing kampung yang kotor dulunya dan Mia yang sangat
comel dan bersih.
Menjadi sebahagian keluarga Yajit setiap kucing mempunyai sifat
yang tersendiri. Pacai misalnya hanya mahu makan di tempat tinggi, tetapi
sangat manja dan bijak.
“Apabila saya demam Pacai akan tidur di sebelah saya setiap
hari. Seakan-akan turut bersimpati dengan keadaan saya. Comel pula agak
cerewet, isi ikan dan tulang perlu diasingkan, baru dia mahu makan nasi yang
disediakan untuknya,” katanya rancak bercerita mengenai sifat kucing
peliharaannya.
Kucing reda kemurungan
Ditanya mengapa mengambil kucing buangan sebagai peliharaan dan
bukannya kucing comel berharga mahal, jelas Yajit dulu dia memiliki seekor
kucing diberi nama Kakak. Kakak juga hanya kucing terbiar dan comot yang
mengikutnya pulang ke rumah.
Suatu hari Yajit mengalami kemurungan yang teruk akibat masalah
peribadi. Tekanan jiwa yang dialaminya ini sehingga memaksa dia menjadi pendiam
dan menyendiri di bilik.
“Pernah satu ketika saya berasa ingin bunuh diri. Lebih senang
mati tanpa ada masalah membelenggu. Dalam deraian air mata tiba-tiba Kakak
muncul di hadapan saya. Dia memerhatikan wajah saya lalu menjilat-jilat air
mata berjuraian di pipi. Saya terus tersentak dan berasakan bagaikan ada sesuatu
yang menjentik hati saya untuk mengingati Tuhan. Masih ada yang menyayangi saya
rupanya. Sejak itu saya tekad teruskan hidup dengan memelihara kucing,” katanya
memulakan cerita.
Bermula dari hari itu menjadi hobi terbaru Yajit membawa pulang
kucing terbiar ke rumah. Malah pantang melihat kucing tidak bertuan, sakit,
comot dan kotor hatinya mudah tersentuh. Dia pernah membawa pulang kucing
tempang, lumpuh separuh badan, berkurap, buta, anak kucing tiada ibu, nyanyuk
dan berpenyakit kanser. Kebanyakan kucing ini dijumpai di pasar, tepi jalan,
laluan ke tempat kerja dan di kawasan sekitar rumah.
“Perkara pertama saya lakukan adalah membawa kucing ke klinik
untuk rawatan penyakitnya. Saya akan memastikan penyakit kucing ini sembuh
sepenuhnya. Pernah kerana masalah selesema dan demam, kucing saya ditahan di
wad selama sebulan dengan kos RM4,500!
“Pernah juga kucing menghidap kanser dan memerlukan pembedahan.
Apa yang penting setiap penyakit dapat diubati dan kucing ini kembali sihat,”
katanya.
Walaupun terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang banyak untuk
makanan dan rawatan kesihatan yang hampir mencecah lebih RM1,000 sebulan namun
Yajit tidak pernah menyesal atau terkilan sebaliknya bersyukur kerana dapat
berkongsi kegembiraan dengan haiwan peliharaan.
“Saya memberikan makanan paling mahal kerana ingin memberikan
yang terbaik. Pada saya kucing sama saja seperti manusia. Boleh sakit dan
sihat, gembira dan sedih dan akan nyanyuk apabila sampai waktunya. Malah sejak
memelihara kucing buangan saya semakin mengenali setiap perangai kucing ini
kerana setiap satu mempunyai sifat berbeza. Namun jika diberikan kasih sayang
sepenuhnya, kucing akan memberikan layanan yang sama kepada kita,” luahnya.
Banyak kucing yang hilang
Walaupun kucing peliharaan adalah kucing biasa namun pada waktu
malam dia tetap meletakkan di dalam sangkar. Ini bagi memastikan kucingnya
tidak hilang atau dilanggar. Jika dulu dia mempunyai 25 ekor kini hanya 10 ekor
yang masih ada dalam peliharaan selebihnya sudah mati, diambil orang dan hilang
begitu saja.
“Jika hilang memang saya terkilan kerana sudah menjaganya sebaik
mungkin seperti anak sendiri. Tetapi apa boleh buat mungkin tiada rezeki untuk
memelihara dengan lebih lama,” katanya sayu.
Bagi Yajit, beritahulah apa saja dia sanggup melakukannya
segala-galanya asalkan kucingnya berada dalam keadaan sihat dan ceria. Pernah
kucing peliharaannya lumpuh dan hanya mampu menggerakkan kepala. Setiap satu
jam ubat perlu diberi.
“Memang saya menangis setiap hari. Sedih usah cerita jika boleh
ditukar kesakitan itu dengan diri saya memang saya sanggup. Hati saya mudah
tersentuh melihat kesakitan dan penderitaan kucing. Mungkin ini yang Allah
kurniakan kepada saya agar menjadi lebih penyayang dan sabar melayan kerenah
kucing ini,” katanya yang bertugas sebagai penyelia di sebuah spa di Damansara.
Baginya biarpun dia berhabis duit untuk kucing, tidak pernah
bercuti selama 10 tahun lalu atau mengikuti percutian anjuran syarikat namun
semua itu tidak menjadi masalah. Sejak memelihara kucing tiada lagi istilah
bersosial atau keluar malam dengan rakan. Segalanya dilakukan hanya untuk
kucingnya saja.
“Jika bercuti sekalipun pasti saya akan memikirkan mengenai
makanan kucing, siapa yang akan memasukkan ke dalam sangkar. Sakit demamnya
macam mana. Semua perkara ini akan menyebabkan saya sedih dan tertekan. Jadi
adalah lebih baik seandainya saya mengorbankan masa untuk kucing,” katanya.
Ingin berkongsi kasih
sayang
Ditanya mengenai masa depan sendiri, dengan pantas dia
memberitahu selesa dengan keadaan sekarang dan reda dengan apa yang Allah
berikan.
“Kucing memberikan kegembiraan kepada saya dan kasih sayang yang
tiada tolok bandingnya. Berbeza dengan manusia setiap kasih sayang yang
diberikan pasti mengharapkan balasan,” katanya.
Malah jika ada yang berkata rezekinya murah kerana memelihara
kucing, dia tidak pernah memikirkannya kerana beranggapan rezeki hanya Allah
yang tahu.
“Sekiranya saya mengharapkan balasan setiap apa yang saya
lakukan, ia tidak ikhlas. Urusan kita dengan Allah bukanlah seperti perniagaan,
yang mengharapkan keuntungan. Saya ikhlas kerana Allah. Rezeki atau sebaliknya
adalah urusan Allah. Dia pemilik rezeki dan Maha Mengetahui.
“Cuma apa yang saya perasan Allah memberikan kesihatan yang baik
kepada saya sepanjang memelihara kucing. Rezeki kesihatan tidak ternilai
harganya. Bayangkan jika duit banyak sekalipun tidak berguna jika sakit,”
jelasnya.
Tambahnya lagi dia sedar
dunia ini ciptaan Tuhan. Tidak boleh sombong oleh itu kena berkongsi kasih
sayang sesama makhluk Allah.
0 comments:
Post a Comment